Saturday 17 December 2011

Saling bersaing


KUALA LUMPUR: Saling memberi semangat antara satu sama lain dan bertolak ansur menjadi rahsia kejayaan pasangan suami isteri, Josee Chua Sew Pein, 31, dan Chee Choon Hui, 32. Josee adalah penerima Anugerah Akademik Ijazah Sarjana Terbaik dan penerima ijazah tunggal Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan Sains iaitu program kerjasama yang ditawarkan Universiti Of Warwick United Kingdom bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Mengulas kejayaan luar biasa yang mampu dicapai meskipun bergelar isteri, pekerja dan pelajar dalam satu masa, Josee berkata, semuanya bergantung kepada kemahuan diri.
“Mulanya saya ragu-ragu untuk menyambung pengajian. Bimbang jika tidak mampu membahagikan tugas, namun selepas berfikir dan berbincang bersama suami, tidak sangka pula dia juga terfikir untuk menyambung pengajian.

“Tiada jalan mudah untuk berjaya dan tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Meskipun berdamping 24 jam dengan buku dan tidak dapat menikmati kehidupan seperti orang lain, saya bersyukur kerana tidak pernah tangguh pengajian atau ulang peperiksaan,” katanya sewaktu ditemui selepas majlis penyampaian ijazah graduan UTM Razak School of Engineering dan Graduan Universiti of Warwick di UTM Jalan Semarak, di sini, semalam.

Katanya, dia dan suami sentiasa bersaing bagi memperoleh keputusan cemerlang. Paling penting, mereka tidak suka tangguh kerja dan tidak membuatnya pada saat akhir. “Diikutkan hati, kehidupan kami sangat penat. Jadual sentiasa padat bermula Isnin hingga Ahad. Namun, kini semuanya berbayar apabila berjaya memperoleh apa diimpikan.

“Saya harap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada golongan berkerjaya yang mahu menyambung pelajaran. Sesiapa pun boleh berjaya jika ada kemahuan,” katanya.
Sementara itu, graduan berusia 49 tahun yang juga penerima tertua, M Kandasamy berkata, usia bukan penghalang baginya menyambung pengajian meskipun bergelar suami dan ayah.

“Orang mahu berjaya tidak akan memberi alasan. Walaupun bekerja, saya tetap ada masa untuk keluarga terutama tiga anak, dan berharap kejayaan ini menjadi contoh buat mereka,” katanya yang mengikuti jurusan Diploma Eksekutif Kejuruteraan Pengurusan Perniagaan.

Penerima Anugerah Akademik Keseluruhan Terbaik ialah Nazillah Yaacob, 45, dalam jurusan Diploma Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Petikan : www.hmetro.com.my

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my


No comments:

Post a Comment