Menjadi model penting buat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings
Berhad (Proton), kereta subkompak itu tidak pernah jemu menerima
penambahbaikan.
Bermula dengan model BLM pada tahun 2008, Saga mengalami revolusi
menerusi model-model seperti BLM SE (2009), FL (Disember 2010) dan FLX
(Ogos 2011) sebelum pada minggu lalu Proton memperkenalkan pula varian
yang dikenali sebagai Saga FLX SE.
Karekter utama yang membentuk Saga FLX SE ialah enjin Campro IAFM
bersesaran 1.6 liter dan kotak gear CVT (Continuously Variable
Transmission). Ciri itu kemudian digabungkan bersama pelbagai aspek
lain, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang berbaloi untuk
dimiliki.
Sedia maklum bahawa Saga dengan enjin 1.6 liter pada asalnya cuma
untuk dijadikan teksi. Namun, memandangkan permintaan terhadapnya terus
meningkat, Proton bersetuju untuk menawarkannya kepada kelompok
pengguna yang lain.
Saga FLX SE disifatkan sebagai Saga yang paling sporty dan memiliki
pelbagai ciri menarik setakat ini. Perubahan dapat dilihat dengan jelas
sama ada pada luaran dan dalamannya.
Saya sempat memandu uji kereta itu bersama satu lagi model baharu
Proton, Exora Bold menuju ke Tanjung Jara, Terengganu pada awal minggu
ini. Tetapi, untuk kali ini, kita fokuskan dahulu kepada apa yang mampu
ditawarkan oleh Saga FLX SE.
Laluan kampung di bandar Al-Muktafi Billah di Dungun Terengganu
menyerlahkan kemampuan sebenar jentera tersebut. Terpaksa memandu dalam
hujan renyai, kelajuan maksimum yang berani diperah hanya sekadar 120
kilometer sejam.
Bunyi enjin
Itu sahaja kelajuan yang berani saya tekan memandangkan rasa sistem
breknya yang kurang meyakinkan. Bagaimanapun, kekurangan itu
diseimbangkan menerusi stereng yang agak berat, di samping tahap
pengendalian mantap ketika mengambil selekoh.
Harus diakui bahawa respons enjin 1.6L IAFM itu agak bagus. Sebaik
sahaja pedal minyak ditekan, enjin mengaum untuk mencari gear terbaik
demi memproleh momentum, tipikal kotak gear CVT. Bunyi enjin juga dapat
didengar dengan jelas dari dalam kabin, mungkin aspek itu harus
diperbaiki oleh Proton.
Untuk merasai lebih kuasa, jangan lupa menekan butang SAT
(Stepped-Automatic Transmission). Butang ini membolehkan pemandu merasa
pertukaran gear seperti kotak gear manual konvensional.
Sekiranya SAT masih belum mampu memuaskan hati anda, tolak tuil gear
ke kolum “L”. Harus tahu bahawa ia bukan digunakan untuk mendaki laluan
berbukit, sebaliknya bertindak seperti mode sport. Hasilnya, jarum rpm
akan melonjak setinggi 800rpm, sekali gus memberi kuasa ekstra untuk
memotong atau memecut.
Mahu menjadikannya berasa lebih mahal, ruang dalaman Saga FLX SE
disertakan dengan kemasan kulit hitam bersama jahitan benang merah pada
stereng, konsol tengah, tuil gear dan tempat duduk. Saya harus
beritahu juga bahawa tempat duduk belakangnya cukup selesa, walaupun
jika anda terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
|
|
Misi menarik minat golongan muda untuk memiliki Saga FLX SE mungkin
tidak terlalu sukar menerusi penampilannya yang garang. Selain disalut
dengan warna merah menyala (warna baru selain warna putih solid) jentera
itu turut hadir bersama kemasan lampu kabus berwarna kelabu.
Sekeliling kereta juga dilengkapi dengan skirting berwarna kontras
(kelabu). Bahagian hadapan menyerlah melalui sepasang lampu utama
berbentuk tirus. Sementara bahagian belakangnya tampil menawan dengan
lampu LED.
Penampilannya disempurnakan lagi menerusi padanan rim aloi bersaiz 15
inci baharu yang dibalut tayar bersaiz 195/50 R15. Pendek kata, jentera
itu tidak memerlukan apa-apa solekan lain untuk nampak cantik.
Berminat? Anda sudah boleh melihatnya di mana-mana pusat pameran
Proton berhampiran. Mahal RM2,900 berbanding model Saga FLX, ia
ditawarkan pada harga RM49,449 seunit.
Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
petikan : www.kosmo.com.my 29/12/2011
No comments:
Post a Comment