PELAJAR perubatan, Nur Fatin Liyana Asri, 22, tiba-tiba meraih
perhatian selepas namanya tersenarai dalam 10 carian paling popular
Google Malaysia 2011.
Carian kata kunci 'Fatin Liyana' berada pada tangga keenam selepas
carian Bruno Mars, Hana Tajima, Cikgu Shida, Avril Lavigne dan Anwar
Ibrahim.
Sementara itu di tangga ketujuh ialah penyanyi remaja popular Justin
Bieber diikuti selebriti Rihanna, Ustaz Kazim dan blogger Hanis Zalikha.
Fatin merupakan pemilik blog di alamat
http://honeykoyuki.blogspot.com. Menurut Fatin, blog itu dimulakan pada
Januari 2009 bertujuan mengabadikan kenangan pahit manisnya sepanjang
berada Indonesia.
Model
Fatin merupakan pelajar perubatan di Universiti Padjadjaran di
Bandung. Universiti Indonesia itu menawarkan pengajian ijazah berkembar
dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Tidak dinafikan segelintir rakyat Indonesia gemar mencemuh pelajar
Malaysia. Tetapi saya membiarkannya sahaja kerana sedar saya tinggal di
tempat orang," katanya. Pengalaman di rantau orang sejak tiga tahun lalu membuatkan Fatin berwaspada. Tidak sekadar ditipu warga tempatan malah rumah sewanya di Puri Indah, Jatinangor, Bandung digeledah perompak.
Peristiwa itu ternyata meninggalkan ketakutan dalam diri gadis setinggi 161 sentimeter ini sehingga kini. Trauma yang dilaluinya bukan sahaja akibat kehilangan barangan
berharga, lebih menyedihkan apabila pihak berkuasa seperti anggota polis
dan ketua kampung hanya mentertawakan dan menyalahkannya atas
kecelakaan tersebut.
"Kes kehilangan motosikal pelajar Malaysia di sana bagaikan perkara biasa. Nasib baik pihak Kedutaan Malaysia banyak membantu. "Acapkali juga kami kena tipu terutamanya apabila mereka tahu saya orang Malaysia. "Paling menyakitkan hati segelintir peniaga sesuka hati menaikkan
harga nasi ayam penyet daripada 7,000 rupiah (RM2.50) kepada 20,000
(RM7) walaupun harga asalnya tertera pada menu," cerita Fatin.
Pengalaman ditipu menjadi inti pati awal laman blognya. Namun,
tinggal di Bandung juga membolehkan model sambilan ini menikmati
keindahan negara republik itu.
"Kunjungan ke Bogor, Jakarta, Yogyakarta dan Bali meninggalkan banyak
kenangan mengujakan. Keunikan setiap destinasi itu saya abadikan dalam
blog saya," ujar anak kedua daripada empat beradik ini.
Selepas tiga tahun, laman blog itu kini mempunyai lebih 33,000 pengikut.
Cerita Fatin yang gemar berkongsi tip kecantikan dan gaya hidup, sebelum ini blognya hanya dibaca rakan-rakan terdekat.
Dicemuh
Namun segalanya berubah pada awal tahun lalu selepas Fatin menulis mengenai cara pemakaian tudung. Akibat kurang melakukan kajian tentang pemakaian tudung, tulisan berkenaan telah mencetuskan kontroversi.
Dia dicemuh sebagai tidak sensitif terhadap agama gara-gara cara
pemakaian tudung yang dipaparkan dalam blog itu dikatakan tidak mengikut
kaedah Islam yang sebenar. Sejak episod pahit itu, nama Fatin Liyana semakin menjadi sebutan manakala laman blognya terus popular sehingga hari ini.
"Pengalaman itu mengajar saya agar membuat kajian terlebih dahulu sebelum menulis sesuatu isu.
"Tidak sangka pula ramai yang memberi perhatian terhadap tulisan saya itu.
"Kebanyakan pembaca juga meminati tulisan yang cenderung pada topik tip kecantikan mahupun pelancongan.
"Saya menulis blog sekadar ingin mengelakkan kebosanan bukan kerana
populariti," katanya yang pernah memperoleh pendapatan sebanyak RM2,500
sebulan daripada laman blog tersebut.
Berbicara mengenai gaya penulisan blog, gadis manis ini lebih selesa
menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami tetapi pada masa yang sama
mengelakkan singkatan perkataan. Hakikatnya, Fatin yang sedang menjalani latihan praktikal di Pusat
Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras, Kuala Lumpur
begitu mencintai bidang perubatan.
"Impian saya adalah untuk menjadi seorang yang boleh menyumbang sekurang-kurangnya kepada ibu bapa sendiri. "Menjadi seorang doktor adalah impian saya. Cita-cita itu terlaksana
jika saya dapat menamatkan pengajian yang berbaki dua tahun lagi," kata
gadis berbintang Gemini ini.
Petikan : www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment