Saturday 31 December 2011

Jiwa kental Tengku Rozidar

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
 
 
KOMITED...program membantu orang daif dengan memberi makanan antara kebajikan dilakukan Tengku Rozidar.

KOMITED...program membantu orang daif dengan memberi makanan antara kebajikan dilakukan Tengku Rozidar. 
 
SAAT paling mencabar bagi wanita ini adalah pada 1997 apabila perniagaannya menjunam berikutan ekonomi negara merudum ketika itu. Sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nineteen O One Sdn Bhd (1901), beliau orang pertama merintis perniagaan berbentuk francais yang berkaitan makanan segera, tetapi kesan kegawatan itu menuntut rasa sabar yang bukan sedikit buat dirinya.

Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin, 43, berjiwa kental kerana ketika berdepan ujian itu, beliau turut menghadapi masalah peribadi yang memberi kesan kepada jiwanya.

“Saya tidak dapat melupakan peristiwa itu kerana perniagaan itu bagai menghampiri garis penamat akibat masalah ekonomi melanda negara dan juga dunia, selain terpaksa berdepan titik-bengik yang mungkin pada orang lain agak terpencil tetapi pada saya kesannya sungguh terasa.

“Banyak cara difikirkan ke arah menyelesaikan puncanya ibarat menarik rambut dalam tepung; tepung tidak berselerak, rambut pula tidak putus! Di situ semangat kena kuat; kalaupun diri terasa hampir putus asa atau terlalu tertekan, cepat-cepat saya bisikkan kepada diri supaya terus bangkit tanpa menyerah kalah.

“Sebenarnya, kekuatan dalaman dan jati diri sangat penting kerana bukan mudah mengurus masalah dan mencari jalan penyelesaian terbaik, selain perlu bijak membuat keputusan. Apatah lagi, ia bukan hanya membabitkan diri saya, sebaliknya pekerja yang bergantung nasibnya kepada saya.

“Bayangkan, usaha merintis perniagaan berbentuk francais dalam makanan segera ini membabitkan ramai francaisor lain. Jika tindakan diambil tidak tepat, tentu ia memberi gambaran betapa tidak bijaknya saya sebagai pembuat keputusan. Untuk mengimbangi semua ini, ia memerlukan daya berfikir yang bijak demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Untuk itu, katanya, pemulihan semula syarikat terus dilakukan bagi mengukuhkan jenama supaya mampu bertahan sebagaimana produk makanan segera lain.

Bahkan, beliau tidak menafikan ketika hot dog baru diperkenalkan, ia dianggap asing di kalangan masyarakat, tetapi kini produknya semakin diperkatakan.

Seiring dengan perubahan semasa, makanan segera itu diterima dengan sambutan luar biasa, sekali gus mendorong dirinya terus gigih mengukuhkan perniagaan ini tanpa mengira penat lelah sehingga usaha itu berbaloi.

Namun tanpa diduga satu lagi cabaran besar dihadapinya apabila berpisah dengan bekas suami beberapa bulan lalu.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1901 Sdn Bhd dan banyak melakukan segala secara bersendirian, dedikasinya terhadap perniagaan yang disifatkan sebagai ‘bayi kesayangan’ itu memang luar biasa.

Cara beliau bekerja hingga ke malam serta sanggup ke luar daerah menemui francaisor jika ada masalah tertentu menunjukkan betapa prihatin dan gigihnya wanita ini dalam menjadikan perniagaan itu terus utuh untuk dilonjakkan.

“Ternyata, usaha saya selama ini berbaloi apabila menerima pengiktirafan sebagai satu daripada ‘superbrands’ di Malaysia serta Francaisor Harapan Tahun 1998 oleh Persatuan Francais Malaysia. Selain itu, 1901 diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai rangkaian hot dog terbesar di negara ini.

“Terbaru, saya meraih BDC Awards Best Malaysian Food Franchisor Brand 2011 daripada UDC (Universo De’ Comercio Award) iaitu pengiktirafan peringkat antarabangsa.

“Ia pemangkin semangat untuk terus bekerja kuat selain keluarga dan anak sering menjadi inspirasi dalam hidup,” katanya.

Lahir dalam keluarga diraja Kedah dan Selangor serta memegang Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Perhubungan Antarabangsa daripada Nottingham University, United Kingdom, BA (Kepujian) dalam Kesusasteraan Inggeris serta B. Ed dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua daripada sebuah universiti di Kanada, beliau tidak pernah bermegah dengan apa dimilikinya.

Ramai tidak mengetahui beliau juga berbakat di bidang muzik dan pernah diiktiraf oleh sekolah muzik di London dengan memiliki Gred 8 dalam piano seawal usia 16 tahun.

Sikapnya yang sentiasa mencuba dalam pelbagai bidang selain gemar terhadap cabaran membuatkan beliau meraih pengalaman dalam persekitaran berbeza dengan menceburi dunia kewartawanan penyiaran dan menjadi penyampai berita TV3 dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar awal 1990-an.

Dalam masa sama, beliau turut bertugas sebagai penyelaras projek dengan sebuah syarikat korporat berdaya maju, menjadi tutor di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di samping bergelar pensyarah sambilan bahasa Inggeris di sebuah institusi bahasa swasta.

Sebenarnya, di kalangan teman rapat, beliau dikenali sebagai insan yang tidak tahu duduk diam. Beliau sentiasa bijak mengolah minat dan peluang untuk diketengahkan dan antara aktiviti digemari adalah perihal berkaitan kecantikan dan fesyen.

Dalam soal kecantikan, beliau juga terbabit dengan produk kosmetik antarabangsa yang dirumus bagi memenuhi aspirasi anti penuaan kerana melalui cara itu beliau mampu meraih pendapatan sampingan lumayan.

Melihat kepada minatnya yang mendalam, beliau turut dipanggil pelbagai pertubuhan berkaitan kedua-dua bidang itu sebagai perunding imej melalui sebuah pertubuhan berdaftar.

Selain itu, beliau mula berjinak-jinak dengan memasuki dunia fabrik apabila berjaya melakar koleksi pakaian, tudung rekaan sendiri di samping mengetengahkan kurung dan kebaya berkonsepkan sulaman serta manik yang unik.

Komitmennya dalam bidang kecantikan membuatkan beliau dipilih sebagai seorang daripada ‘22 wanita glamorous di Malaysia’ oleh beberapa majalah tempatan pada 2006, ‘Wanita Dinamik 2008/2009’ dan penerima Wanita Bergaya daripada majalah berbahasa Inggeris.

Beliau juga muncul dalam pelbagai program TV termasuk mengambil bahagian dalam rancangan realiti, selain kerap menerima jemputan daripada agensi tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi pengalaman luas dan pengetahuan dalam bidang perniagaan dan penjenamaan tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, biar sesibuk mana pun, beliau masih sempat melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah di Universiti Malaysia Kelantan dalam bidang perniagaan.

Selain membesarkan dua puteranya dengan penuh kasih sayang, beliau bergiat aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu insan daif dengan memberi bantuan berupa makanan kepada mereka pada hujung minggu demi meneruskan kehidupan.

Kata wanita ini, jika golongan itu tidak dibantu, dibimbangi mereka dipergunakan oleh pihak tertentu untuk perkara negatif.

“Sebenarnya, semua ini memberi kita pengalaman hebat untuk merasakan betapa golongan berkenaan perlu dibantu supaya kemiskinan tidak membawa mereka ke kancah kehinaan.

“Sekali gus, ia mengajar erti kasih sayang sebenar kerana perkara sebegitu membuatkan saya bercerita kepada anak supaya mereka tahu erti kesusahan orang lain.

“Ia turut mengajar kita semua supaya bersama-sama melakukan kebaikan. Walaupun sumbangan tidak sehebat mana, tetapi besar maknanya,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Nineteen O One Sdn Bhd (1901)
LAHIR: 7 Mac 1968
UMUR: 43 tahun
ASAL: Alor Setar, Kedah
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Haziq Azizi Ahmad Zahir (17) dan Tareef Iman Azizi (7)

PENDIDIKAN: Sarjana dalam Perhubungan Antarabangsa daripada Nottingham University, United Kingdom

No comments:

Post a Comment