|
WU WEIPING, yang hamil tujuh bulan keluar pada awal pagi membawa beg
galas yang diisi beberapa helai pakaian, komputer riba dan pisau. "Nasib
saya sangat baik, jika tidak pasti saya ditangkap," kata Weiping, 35,
yang ketakutan. Jika ditangkap, pegawai-pegawai perancang keluarga akan
mengheretnya ke hospital untuk melakukan pengguguran secara paksaan.
"Saya akan berjuang sampai mati jika mereka menangkap saya." Selepas
melarikan diri, Weiping menyertai komuniti ibu bapa yang ingkar mematuhi
polisi di China yang menetapkan hanya seorang anak sahaja dibenarkan
bagi setiap pasangan. Kepada yang ingkar, mereka bakal berdepan dengan
risiko hilang pekerjaan, wang simpanan dan keselamatan.
Walaupun bilangan agak kecil, mereka mewakili pencetus idea mengubah
hak-hak individu. Sungguhpun penentangan itu dilihat lebih cenderung
berlaku dalam kalangan keluarga di luar bandar yang kabur terhadap
peraturan tersebut, kini ramai ibu bapa dari kawasan bandar seperti
Weiping juga terlibat.
Weiping tampil dengan alasan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk menetapkan bilangan anak-anak yang boleh mereka miliki. Menggunakan ruang sembang siber internet dan blog, ramai ibu bapa
menyiarkan tuntutan-tuntutan mereka bagi perancangan dasar keluarga yang
lebih liberal dan berharap orang lain akan mengikut jejak langkah
tersebut. Malah, beberapa ibu bapa yang berjaya menyelitkan
cerita-cerita mereka ke dalam media yang dikawal ketat, menandakan
perspektif mereka telah mula dinilai oleh orang ramai.
Selepas mendapat tahu isterinya bakal melahirkan anak kedua, Liu
Lianwen menubuhkan forum perbincangan dalam talian yang dipanggil
Kelahiran Percuma. Ia bertujuan untuk menukar maklumat tentang dasar
satu anak dan cara-cara untuk berdepan dengannya.
Dalam masa kurang daripada enam bulan, ia telah menarik hampir 200
ahli. "Kami idealis," kata jurutera berusia 37 tahun dari pusat bandar
China itu. Anak sulung perempuannya dilahirkan pada 18 Oktober lalu.
"Kami mahu mengubah sikap orang ramai di sekeliling kita dengan mengubah
diri kita sendiri."
Kesan kebebasan kawalan sosial yang dilaksanakan semasa era doktrin
di bawah pemerintahan Komunis, rakyat China diberi kebebasan memilih
tempat tinggal, pekerjaan dan status perkahwinan. Bagaimanapun, negara
itu menetapkan satu undang-undang iaitu rakyatnya dibenarkan memiliki
seorang anak sahaja.
Jika ingkar, mereka akan dikenakan hukuman yang berat seperti dicabul status dan tekanan ekonomi.
Tidak dirancang
Adalah sesuatu yang mustahil untuk mengetahui jumlah kanak-kanak yang
dilahirkan sebagai anak kedua di negara tersebut. Bagaimanapun,
Pengarah Sekolah Renmin, Universiti Sosiologi dan Penduduk di Beijing,
Zhai Zhenwu meng anggarkan kurang daripada satu peratus bayi yang
dilahirkan daripada 16 juta kelahiran setiap tahun adalah kelahiran yang
tidak dirancang.
Liu berpendapat, warga negaranya itu telah dipengaruhi. "Mereka semua
merasa selamat dari segi kekayaan apabila memiliki sebuah keluarga yang
kecil," katanya. "Namun, propaganda perancangan keluarga selama tiga
dekad itu akhirnya telah mengubah cara majoriti ibu bapa di China
berfikir tentang melahirkan anak kedua."
Keengganan untuk menjadi ayah juga menjadi salah satu isu kebimbangan
bagi demografi. Dasar yang digabungkan dengan kos sara hidup telah
membawa kadar kesuburan menurun terlalu mendadak dan terlalu cepat.
Walaupun masih memegang status sebagai negara yang mempunyai populasi
terpadat di dunia iaitu 1.3 bilion, hakikatnya pertumbuhan penduduk
China amat perlahan.
"Kebimbangan China sekarang ialah ketiadaan pertumbuhan penduduk. Ia
berhadapan dengan penuaan penduduk yang pesat manakala orang muda tidak
mahu memiliki anak," kata pengarah Pusat Brookings-Tsinghua untuk Dasar
Awam, satu badan kerjasama akademik penyelidikan AS-China yang berpusat
di Beijing, Wang Feng.
Wang melihat bencana yang lebih buruk akan dihadapi apabila generasi bayi tahun 1960-an kini dalam persaraan dan usia tua. Tenaga buruh China, berkurangan secara mendadak akibat dasar satu
anak dan masalah itu terus berlanjutan. Beliau berhujah bahawa pihak
pemerintah perlu memberi peluang kepada semua orang untuk memiliki
sekurang-kurangnya dua orang anak.
Wang berpendapat, masih ramai orang China yang memilih untuk
mempunyai seorang anak kerana bimbang kemampuan mereka membesarkan anak
lebih daripada seorang. Penalti yang dikenakan ke atas mereka yang
ingkar juga sangat berat.
Sesiapa yang ditangkap perlu membayar yuran pampasan sosial. Pampasan
itu boleh mencecah di antara empat hingga sembilan kali pendapatan
tahunan keluarga, bergantung kepada wilayah dan pilihan biro perancang
keluarga di sesebuah kawasan.
Hilang hak
Ibu bapa yang terikat dengan pekerjaan dengan pihak pemerintah boleh
kehilangan jawatan atau diturunkan pangkat. Pada masa yang sama, anak
yang lahir 'di luar rancangan' itu pula akan dinafikan faedah pendidikan
dan kesihatannya.
Mereka yang tidak bekerja dengan pihak pemerintah China mungkin tidak
begitu bimbang berbanding mereka yang bekerja dengan pihak pemerintah.
Jika mereka mampu membayar yuran yang tinggi dan tidak kisah kehilangan
faedah, masih terdapat perkara-perkara lain yang menghalang mereka
daripada mempunyai anak tambahan.
Terdapat kemarahan yang membuak-buak apabila polisi ini dilihat lebih
memihak kepada golongan kaya, tetapi orang biasa tidak dapat melakukan
apa-apa memandangkan dasar ini adalah dasar tertutup sejak kepimpinan
komunis di Beijing.
Pada tahun 2007, pegawai-pegawai di pantai Zhejiang pernah mengugut
mahu memalukan keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak,
tetapi kempen itu tidak pernah mendapat kelulusan. Kemungkin kerana ia
akan mencemarkan reputasi pihak atasan di negara itu.
Golongan yang paling teruk menerima ugutan ini ialah ibu bapa di
bandar, kelas menengah dan berjawatan dalam Parti Komunis, berkedudukan
dalam bidang pendidikan atau pekerjaan dalam industri yang dikendalikan
oleh pemerintah negeri.
Li Yongan misalnya, dia diperintah membayar 240,000 yuan (RM119,830)
selepas anaknya dilahirkan pada tahun 2007 kerana dia sudah pun
mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 13 tahun. Selepas enggan
membayar yuran, Li dinafikan pendaftaran permit isi rumah untuk anaknya
sekali gus memaksanya untuk membayar yuran pendaftaran tadika sebanyak
tiga kali ganda.
Beliau juga dihalang daripada mengajar fizik di sebuah universiti di
Beijing. "Saya tidak pernah menyesal kerana memiliki anak kedua, tetapi
saya mengalami kemurungan dan penuh kemarahan bertahun-tahun lamanya,"
kata Li yang kini terpaksa berjuang untuk melangsungkan hidupnya sebagai
seorang guru catur bebas.
Dalam diam-diam, ramai yang mencari jalan untuk mengelak daripada
dihukum. Antaranya membayar rasuah atau memalsukan dokumen. Sebagai
contoh, anak kedua didaftarkan sebagai kembar adik-beradik yang lebih
tua. Kadang-kadang bayi kedua didaftar kepada saudara-mara yang tidak
mempunyai anak atau keluarga luar bandar yang dibenarkan untuk memiliki
anak kedua tetapi tidak berbuat demikian.
Weiping, mengakui dia tidak pernah berniat melanggar peraturan satu
anak itu. Dia menjalani rawatan kesuburan untuk hamil anak pertamanya,
iaitu seorang bayi perempuan yang dinamakan Le Le atau kegembiraan
apabila diterjemah. Jadi, dia terkejut apabila doktor memberitahu
Weiping hamil sekali lagi pada Ogos 2008.
Menurut Weiping, pada awalnya, berita itu mencetuskan perang dingin
antara dia dan suaminya. Selepas beberapa minggu, suaminya dapat
menerima hakikat tersebut. Namun, pegawai-pegawai perancang keluarga
tetap mendesak pengguguran. Begitu juga dengan pengetua sekolah Wu.
Di rumahnya di pinggir Zhuji, hab tekstil yang mengambil masa
beberapa jam dari selatan Shanghai, bekas guru sekolah tinggi itu
menceritakan dia terpaksa menceraikan suaminya, kemudian berkahwin
dengan sepupunya keesokan hari.
Selamatkan bayi
Weiping berkahwin dengan sepupu yang pernah dijaga dan dibesarkannya.
Sepupunya berusia 25 tahun iaitu 10 tahun lebih muda daripadanya.
Perkahwinan itu bertujuan menyelamatkan bayi. Perceraian itu berlaku
pada 27 September 2008 melibatkan tandatangan dokumen dan bergambar.
Ia berlaku hanya dalam beberapa minit. Perkahwinan pada hari berikutnya juga sesuatu yang pantas.
"Saya masih ingat dan amat gembira pada hari itu," kata Weiping
memegang sijil perkahwinan keduanya. "Saya lakukan semua ini kerana saya
fikir saya menemui satu cara terbaik untuk menyelamatkan bayi saya."
Tetapi masalah itu tidak selesai. Apabila pasangan pengantin memohon
untuk mendapatkan permit kelahiran, pegawai-pegawai memaklumkan kepada
mereka kehamilan sepatutnya berlaku selepas perkahwinan kedua.
Petikan : www.kosmo.com.my
29/12/2011
No comments:
Post a Comment