|
|
BAGINDA berbeza daripada gambaran tipikal seorang raja di dunia.
Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, berdedikasi, berkarisma,
bertenaga, gigih dan aktif. Demikian karakter yang menggambarkan
Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan
Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Baginda yang baru menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang
di-Pertuan Agong Ke-13 semalam juga berjaya melaksanakan tugas-tugas
sebagai pemerintah negara dengan begitu cemerlang dan berkesan. Sememangnya, susur-galur hidup Tuanku Mizan sangat menarik untuk disingkap.
Tuanku Mizan mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan sebagai
Yang di-Pertuan Agong kedua termuda pada usia 45 tahun iaitu selepas
Almarhum Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang
dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ketiga pada usia 40 tahun.
Bahkan, menariknya baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong
yang lahir selepas merdeka.
Menjengah usia 17 tahun, baginda telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda Terengganu pada 6 November 1979. Tuanku Mizan dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada 15 Mei
1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud Al-Muktafi
Billah Shah. Dalam lipatan sejarah, baginda juga adalah sultan termuda
di negara ini pada usia 36 tahun.
Kehidupan Tuanku Mizan, 49, yang merupakan putera sulung daripada tujuh bersaudara tidak terbatas di istana semata-mata.Sebelum berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus ketenteraan
di England, baginda pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil
Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu. Pengalaman selama
setahun itu membenihkan pengalaman berharga kepada baginda.
Galas tanggungjawab
Aura sebagai seorang pemimpin terserlah sejak Tuanku Mizan masih
muda. Baginda dikatakan sanggup meredah hutan dan turun padang bersama
kakitangannya berpanas ke merata kampung bagi mengetahui cara-cara
mengukur tanah. Ketabahan baginda menghadapi dugaan dan cabaran diperkukuhkan dengan
latihan ketenteraan, termasuk kursus pegawai kadet selama enam bulan di
Akademi Tentera Diraja Sandhurts, England iaitu dari Mei hingga
Disember 1983.
Setelah menamatkan pengajian di U.S. International University-Europe
(kini dikenali sebagai Alliant International University) dalam jurusan
Ijazah Sarjana Muda Sastera (Hubungan Antarabangsa), baginda dilantik
sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 sehingga 10 Julai 1989.
Kemudian, Tuanku Mizan telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong
Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun iaitu mulai 11 Julai 1989 hingga
10 Julai 1991. Dalam tempoh itu juga sebagai Ketua Agama Islam, baginda
telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Terengganu (MAIDAM) mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.
|
|
Pada 28 Mac 1996, baginda telah selamat diijabkabulkan dengan Raja
Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Bahtera kehidupan baginda berdua
diserikan dengan empat orang cahaya mata.
Akrab dengan rakyat
Tuanku Mizan disifatkan sebagai pemerintah yang sangat prihatin
terhadap kemakmuran dan keharmonian rakyat jelata. Bahkan, bagi
merapatkan jurang antara rakyat dan istana, baginda mengambil pendekatan
turun ke akar umbi dengan solat Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri
Terengganu.
Justeru, jolokan Raja Berjiwa Rakyat kepada Tuanku Mizan sangat bertepatan untuk baginda. Sebagai satu landasan untuk terus meringankan beban rakyat, baginda
yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif
mewujudkan Yayasan Diraja Sultan Mizan yang dilancarkan pada 19 Julai
2005.
Yayasan itu membuka ruang seluas-luasnya untuk baginda terlibat
dalam kerja-kerja amal dalam menaiktaraf sosioekonomi dan kesejahteraan
hidup rakyat.
Tuanku Mizan dikatakan begitu mengambil berat berkenaan impak
keberkesanan yayasan tersebut. Baginda bertindak proaktif dengan
melibatkan diri secara langsung dengan mempengerusikan setiap mesyuarat
lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan.
Transformasi
Semasa masih bergelar Yang di-Pertuan Agong, baginda juga telah
melakukan transformasi terhadap tatacara Istana Negara berurusan dengan
rakyat dan kerajaan. Transformasi itu bermula dengan rombakan dalam pentadbiran istana
sendiri apabila hampir 80 peratus pegawai-pegawai kanan telah
digantikan dengan mereka yang dipilih oleh Tuanku Mizan sendiri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan
berkata, tiada lagi majlis larut malam yang akan dihadiri oleh Tuanku
Mizan. Majlis-majlis mesti dimulakan pada pukul 8.30 malam dan berakhir
pada pukul 10.30 malam. Baginda tidak mahu rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan pulang lewat
hanya disebabkan baginda, sedangkan mereka perlu bekerja pada keesokan
harinya.
Dalam hubungan diplomasi pula, lawatan baginda ke Kemboja, Laos,
Kuwait dan banyak lagi telah menyumbang kepada kesuburan, keakraban dan
pengukuhan hubungan global. Pendekatan itu juga menjadikan Malaysia
sentiasa diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat dunia.
Lawatan kerja Tuanku Mizan selama empat hari ke benua Antartika pada
pertengahan November lalu menggambarkan kesungguhan dan komitmen
baginda kepada negara. “Lawatan Seri Paduka itu dilihat akan memperkukuhkan kerjasama
penyelidikan saintifik Antartika di samping mengeratkan hubungan dua
hala dengan New Zealand,” ujar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,
Datuk Seri Maximus Ongkili.
Sesungguhnya, sepanjang perkhidmatan Tuanku Mizan sebagai Yang
di-Pertuan Agong, baginda berjaya menjalankan seadil-adilnya
pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara. Mulai hari ini, baginda kembali bersemayam memerintah negeri
Terengganu selepas lima tahun mentadbir Malaysia sebagai Yang
di-Pertuan Agong Ke-13.
No comments:
Post a Comment