|
MAFIZUR JAMADAR seperti lelaki-lelaki lain yang terdesak di India.
Negaranya yang mundur menyebabkan rakyat di negara itu sanggup melakukan
apa sahaja demi kelangsungan hidup.
Di kampungnya di Garijala, Sangrampur yang terletak di Bengal Barat,
Jamadar sukar memperoleh pekerjaan. Lantas, dia memutuskan untuk
bekerja di Kolkata yang jaraknya kira-kira 30 kilometer (km) dari
kediamannya.
Setiap hari, dia akan menaiki kereta api ke sana. Sebaik habis waktu
kerjanya, dia tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, Jamadar akan
singgah di salah sebuah kedai samsu haram yang tumbuh melata di Bengal
Barat.
Dia cuma perlu membayar 60 sen untuk mendapat seliter samsu haram.
Namun, rutin Jamadar berakhir Selasa lalu. Kelibat lelaki berumur 30
tahun itu langsung tidak kelihatan. Ibu Jamadar bagai sukar menerima hakikat melihat sekujur tubuh
anaknya yang tidak bermaya di sisinya. Ratapan wanita itu semakin sukar
dikawal apabila dia bersama cucu-cucunya terpaksa menunggu giliran untuk
mengebumikan Jamadar.
“Dia (Jamadar) sampai di rumah seperti biasa, makan dan kemudian
masuk tidur. Hari esoknya, dia muntah dan rasa pening. Kami bawa dia ke
hospital di Diamond Harbor. Dia kemudian dipindahkan ke Kolkata tapi
meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” imbasnya pada satu wawancara
dengan BBC News baru-baru ini.
Itu merupakan salah satu kisah sedih mangsa arak beracun di Kolkata.
Namun, atmosfera di Bengal Barat sejak minggu lalu sangat genting dan
menakutkan. Tangisan mendominasi pendengaran. Mayat mangsa yang ditampal pelekat
nama pada dahi terdampar di pekarangan hospital. Lebih meruntun
perasaan, sesetengah kampung tidak cukup kakitangan untuk membakar
mayat..
Hospital di Kolkata menjadi kelam- kabut. Rumah sakit itu dilaporkan
telah kehabisan ubat-ubatan hingga terpaksa meminta waris mangsa membeli
ubat di luar.
Salah seorang kakitangan hospital, Chiranjit Murmu memberitahu,
terdapat ramai lagi mangsa yang mati di rumah tetapi tidak dibawa ke
hospital untuk dibedah siasat.
“Di kampung-kampung pula ada yang takut pergi hospital gara-gara
takut ditangkap polis kerana membeli samsu haram,” keluh seorang lelaki
tua.
Murah
Setakat artikel ini ditulis, kematian akibat keracunan samsu haram
beracun mencecah sehingga 170 orang. Pihak berkuasa telah menjalankan
tangkapan dan memusnahkan berdozen-dozen kilang penyulingan di lebih 10
buah kampung.
Antara perkampungan yang terbabit ialah Sangrampur, Magrahat, Usthi
dan Mandirbazar yang terletak di daerah South 24 Parganas di Bengal
Barat.
Angka itu dipercayai akan meningkat, beritahu Pengarah Kesihatan Bengal Barat, Shyamapada Basak. Rentetan itu, Pengarah Besar Polis Bengal Barat, Surojit Kar
Purokayashta mengisytiharkan perang besar-besaran ke atas dalang di
sebalik industri pembuatan samsu haram ini. Polis kata Purokayashta,
telah menahan 12 suspek setakat ini.
“Kita sedang menjejak lelaki yang bernama Khonra Badsha. Dia
dikatakan orang kuat di sebalik penjualan arak palsu di negeri ini
sini,” katanya.
Agensi berita AP melaporkan, kebanyakan mangsa merupakan penduduk
miskin yang bekerja sebagai buruh kasar harian, penjaja jalanan dan
pemandu lanca.
Bengal Barat yang bersempadan dengan negara Bangladesh dan mempunyai
19 daerah dihuni kira-kira 91 juta penduduk. Negeri ini kaya dengan
hasil pertanian tetapi sebahagian besar rakyatnya tidak berpelajaran dan
hidup melarat.
Kemiskinan yang memberi tekanan ekonomi telah mendorong penduduk di
kawasan setinggan dan luar bandar menghidupkan industri samsu haram.
Lebih malang, ia bukan sahaja beroperasi secara haram tetapi penghasilan
samsu yang dijual pada harga murah telah dilakukan secara membabi buta.
Kepada penduduk kelas bawahan yang tidak mampu membeli jenama arak
berkualiti, mereka tiada pilihan lain selain membeli samsu serendah 60
sen seliter di lokasi-lokasi haram di Bengal Barat.
Meskipun hambatan agama melarang budaya minum samsu haram, India
tidak berupaya menafikan bahawa lima peratus daripada 60 juta rakyatnya
dikatakan mengamalkan tabiat tidak sihat itu. Menyokong fakta itu,
penyelidikan Indian Alcohol Policy Alliance merekodkan, satu hingga dua
individu disahkan mati dalam jangka masa seminggu akibat meneguk samsu
haram.
Apabila dunia hangat memperkatakan tentang kes keracunan samsu haram
di Bengal Barat, pihak berkuasa tempatan lantas menjalankan kajian
forensik terhadap kandungan minuman yang memabukkan itu. Majistret Narayan Swarup Nigap mendedahkan, hasil pemeriksaan
menyeluruh ke atas 20 mangsa berjaya mengesan campuran metanol iaitu
sejenis alkohol yang sangat beracun dalam arak yang diminum.
Risiko buta
“Selain digunakan untuk melarut dan mengelakkan minuman cepat beku,
metanol telah ditambah untuk meningkatkan kadar kandungan alkohol,”
jelas Nigap yang jelas cukup kecewa dengan kejadian yang meragut nyawa
orang miskin dan menyukarkan lagi kehidupan wanita yang bergelar janda
itu.
Dalam pada itu, Dr. Bob Patton dari Jabatan Ketagihan, Institut
Psikiatri di Kolej King London memberitahu, penggunaan 10 mililiter (ml)
metanol dalam air boleh menyebabkan seseorang buta. Sesiapa juga boleh
maut sekelip mata jika terminum alkohol yang dicampur dengan 30 ml
metanol.
“Apabila seseorang minum arak yang telah dicemari dengan bahan kimia
bahaya itu, dia akan dapat simptom muntah, pening kepala, sakit perut,
berbuih di mulut dan sawan sebelum mati,” katanya.
Kematian ratusan mangsa dalam masa beberapa hari sahaja telah membongkar banyak muslihat. Penulis buku tentang alkohol di negara itu, Aniruddha Mookherjee telah membuat pendedahan yang mengejutkan. Mookherjee mendakwa, terdapat keterlibatan pihak polis termasuk
parti politik dalam mengawal dan menggerakkan industri samsu haram di
India.
“Kerajaan negeri mengawal bisnes minuman keras di India. Di
kebanyakan negeri, minuman keras dihasilkan oleh kumpulan yang dilantik
khas yang punya kepentingan dengan ahli politik.
“Minuman keras dijual secara berleluasa di kedai-kedai kerajaan di
Delhi tetapi di Bengal Barat itu tidak berlaku,” katanya sambil mengakui
permintaan untuk minuman keras sangat tinggi di negara itu dan
pelanggan harus menggunakan kata kunci tertentu untuk membeli minuman
keras jenis itu.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banarjee turut meluahkan
kegusaran. Katanya, pertalian antara ahli politik dengan pengusaha samsu
haram telah menyulitkan usaha polis membanteras jenayah ini.
Seorang lelaki yang terlibat dalam industri arak secara gelap
memberitahu BBC News, bisnes di daerah Gocharan misalnya, dimonopoli
oleh seorang lelaki yang sangat tamak yang sanggup mencampurkan racun
perosak dalam minuman keras untuk menghasilkan rasa yang lebih enak.
“Minuman keras itu dibungkus dalam tin dan disalur ke semua daerah
dan di sesetengah negeri ia dihantar melalui bas atau kereta api.
Peruncit kemudian menjualnya secara bungkus,” katanya berterus-terang.
Masalah ini dilihat seperti sukar menemui titik noktahnya.
Bagaimanapun, untuk melegakan hati rakyat yang sedang berkecemuk,
kerajaan berjanji akan menyediakan pampasan kepada setiap mangsa.
Namun, ramai yang sangat skeptikal. Mereka sukar untuk mempercayai dan semuanya dianggap sebagai janji manis belaka.
“India sememangnya susah untuk mengelak daripada gejala rasuah,” kata seorang wanita dengan nada penuh kemarahan.
Petikan : www.kosmo.com.my 30/12/11
No comments:
Post a Comment