|
MEREKA yang pernah menjejakkan kaki ke Asia Barat pasti tidak
ketinggalan menikmati pelbagai kulinari masakan Arab yang dihidangkan di
negara-negara di sana.
Malah, ada antara mereka yang mengakui masakan dari Asia Barat
mempunyai keunikannya yang tersendiri sehingga menggamit selera. Justeru
tidak hairanlah kewujudan restoran berkonsepkan makanan Arab di negara
ini seringkali menjadi tumpuan dalam kalangan penggemar menu dari
negara Arab.
Malah, ada antara penggemarnya yang sanggup mengabaikan soal harga
yang mungkin agak tinggi asalkan mereka dapat merasai keenakan masakan
tersebut. Menyedari hakikat itu, seorang anak muda, Annas Araby Abdul Halim
Araby, 33, memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan tersebut
dengan membuka restoran makanan Arab menggunakan nama Al-Araby Matha’am.
“Saya memang mempunyai darah berketurunan Arab kerana susur galur
keluarga saya adalah dari negara Yemen malah, keluarga saya sendiri
mahir dalam masakan Arab. Menyedari kelebihan serta kekuatan itulah saya
membuka restoran ini,” katanya ketika ditemui di restoran miliknya di
Pasar Raya Besar Tesco Extra Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.
Nama keluarga
Menurut Annas Araby yang bertindak sebagai pengurus restoran, nama
Al-Araby diambil sempena nama keluarganya iaitu Araby, manakala Matha’am
pula adalah perkataan Arab yang membawa maksud tempat makan. Jelasnya lagi, idea asal untuk membuka restoran tersebut datang
daripada adiknya, Ahmad Sany Araby, 27, manakala bapanya, Abdul Halim
Araby Salih Al-Kaheri dan ibunya, Gayah Said merupakan pendorong utama
yang banyak memberi sokongan kepadanya dalam merealisasikan pembukaan
restoran itu.
Bercerita mengenai restoran tersebut, Annas Araby memberitahu, ia
mula dibuka pada 23 Oktober lalu dengan modal sekitar RM300,000. Katanya, walaupun baru sebulan dibuka, sambutan yang diterima
daripada pelanggan amat menggalakkan, apatah lagi sebahagian daripada
tujuh menu utama yang disajikan setiap hari habis lebih awal daripada
waktu yang dijangkakan sehinggakan menghampakan sesetengah pengunjung
yang datang lewat ke restorannya.
Antara menu yang dihidangkan adalah ayam mandy, kambing mandy, kabsa
kambing, ayam dan kambing panggang, beriani ayam dan kambing selain menu
sampingan seperti khob dhal, buah-buahan dan salad. Minuman yang menjadi hidangan utama ialah teh Arab selain pelbagai
jus segar jenama Rani dan Barbican yang diimport sepenuhnya daripada
Asia Barat.
Menurut Annas Araby lagi, walaupun terdapat beberapa restoran
berkonsepkan makanan Arab dibuka di sekitar Pulau Pinang, tetapi
restoran miliknya mempunyai kelainan yang tersendiri. Selain menyediakan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma, restoran yang
dibuka dari pukul 12 tengahari hingga 10.30 malam setiap hari itu juga
menyediakan suasana yang lebih selesa dan menenangkan.
Setiap hidangan yang disediakan di restoran juga disediakan oleh
tujuh orang chef dengan sebahagian besarnya adalah chef yang dibawa
masuk dari Yemen.
Import bahan mentah
Selain itu katanya, bagi memastikan keaslian cita rasa Arab pada
setiap masakan, 70 peratus daripada bahan mentah yang digunakan untuk
setiap masakan diimport sepenuhnya daripada Asia Barat termasuklah beras
yang digunakan. Namun katanya, setiap masakan tersebut telah diolah bagi memenuhi
cita rasa pengunjung yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat
tempatan.
“Kami ingin berkongsi resipi keluarga Araby dengan semua penggemar
makanan Arab di negara ini dan juga kepada mereka yang masih belum
pernah merasai masakan Arab yang sebenar,” ujarnya.
Oleh RIZAM ZAKARIYA
Petikan : kosmo online
No comments:
Post a Comment