DUNIA tanpa sempadan. Ia cukup sinonim dengan perkembangan teknologi alam siber yang semakin serba canggih hari ini.
Dengan hanya satu klik sahaja, pelbagai maklumat, kemudahan,
perkhidmatan dan banyak lagi dapat diakses di mana-mana sahaja tanpa
perlu mengerah keringat sehingga titisan peluh jatuh ke bumi. Bagaimanapun, kecanggihan teknologi ini disalah guna sesetengah pihak
untuk mengaut keuntungan melalui alam siber sehingga menyebabkan
kerugian mencecah berbilion ringgit. Bahkan, penjenayah siber ini akan mencari pelbagai taktik dalam mencari kemewahan melalui jalan pintas.
Modus Operandi
Menurut Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md.
Din, terdapat pelbagai taktik yang diguna pakai penjenayah siber dalam
memerangkap mangsa untuk kepentingan mereka. Bagaimanapun, beliau memberitahu, antara modus operandi tertinggi
dicatatkan dalam kes-kes jenayah siber adalah belian barangan,
penyamaran sebagai pegawai bank atau polis, mesin pengeluaran wang
automatik (ATM), bungkusan dan phishing.
“Belian barangan mencatatkan kes tertinggi apabila suspek akan
mengiklankan penjualan barangan di internet dan meminta mangsa membuat
bayaran membeli barangan tersebut.
“Mangsa hanya akan menyedari ditipu setelah membuat pembayaran dan
tidak menerima barangan dijanjikan seperti di dalam laman berkenaan,”
katanya.
Kamarudin menambah, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis
menyaksikan sindiket membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) secara rambang kepada mangsa.
“Selepas itu, ahli sindiket akan menyamar sebagai pegawai bank atau
polis dengan menjawab panggilan mangsa lalu meminta mendedahkan butiran
akaun.
“Mangsa akan diarahkan mengunjungi mesin ATM dan melaksanakan arahan
diberikan melalui perbualan telefon sehingga wang mangsa dipindahkan ke
akaun lain,” katanya.
Suspek turut akan menggunakan maklumat perbankan pemegang akaun untuk pengeluaran wang melalui mesin ATM. Satu lagi taktik yang biasa digunakan adalah mangsa akan berkenalan
dengan suspek melalui laman sosial dan diyakinkan suspek ikhlas untuk
bersahabat.
“Mangsa kemudian akan dijanjikan menerima satu bungkusan dikirim dari
luar negara. Kebiasaannya bungkusan tersebut mengandungi barangan
berharga seperti wang atau barangan kemas.
“Mereka akan dimaklumkan bahawa barangan tersebut telah ditahan
kastam dan perlu membuat bayaran untuk pelepasan barangan tersebut,”
ujarnya lagi.
Beliau menambah, kaedah phishing pula digunakan untuk mencuri maklumat secara dalam talian. Katanya, suspek akan mewujudkan laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi atau pun perbankan mangsa.
Pilih Alam Siber
Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya
Dr. P. Sundramoorthy pula berkata, terdapat beberapa faktor yang
mendorong penjenayah siber memilih alam maya dalam melakukan jenayah.
“Di alam siber penjenayah biasanya lebih bersikap meyakinkan kerana
mereka tidak perlu berkonfrantasi dengan mangsa malah, boleh dilakukan
di mana-mana sahaja.
“Selain daripada itu, mereka juga mempunyai persepsi bahawa alam siber selamat daripada dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Sundramoorthy berkata, ia disebabkan identiti mereka tidak boleh dicam dan atau boleh dipalsukan.
Menyentuh mengenai mengapa mangsa mudah diperdaya penjenayah siber,
beliau menjelaskan, antara penyebab ia berlaku adalah cinta itu buta.
“Akibat penangan cinta dan beranggapan telah menemui teman hidup, mereka mudah percaya kepada orang tidak dikenali.
“Kebiasaannya, kes-kes sebegini disebabkan mangsa jatuh cinta dan
mempercayai suspek sehingga ditipu. Ada juga di antara mereka tidak
pernah menemui suspek,” katanya.
Ujarnya lagi, sikap tamak turut memainkan peranan apabila mangsa ingin menjadi kaya dengan jalan pintas. Menyedari pelbagai amaran dan pendedahan telah dilakukan pihak
berkuasa serta media, mereka masih yakin dengan iklan atau pun skim
cepat kaya ini.
“Bagaimanapun, majoriti mangsa-mangsa jenayah siber tidak mengetahui mereka adalah mangsa.
“Ia boleh dikatakan kecuaian apabila memberi atau pun mendedahkan maklumat kritikal kepada penjenayah siber,” katanya.
Pencegahan
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt.
Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri berkata, orang ramai perlu
sentiasa mempunyai sikap berwaspada dan berhati-hati apabila berada di
alam siber.
“Jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali terutama
melalui laman web sosial kerana kita tidak mengetahui identiti sebenar
mereka serta tujuan mereka menjalinkan persahabatan dengan kita.
“Dalam pada itu, mereka juga dinasihatkan agar tidak mendedahkan
maklumat diri serta keluarga kepada orang yang baru dikenali kerana
mereka mungkin mempunyai niat tidak baik. Bahkan, akhirnya anda akan
terdedah kepada anasir-anasir negatif serta berniat jahat,”katanya.
Husin menegaskan, pengguna alam siber tidak perlu memuatnaik (upload)
atau berkongsi gambar-gambar serta video yang berbentuk peribadi. Katanya, mereka perlu memastikan mewujudkan tetapan privasi untuk
melindungi maklumat peribadi daripada mereka yang bukan berada di
kelompok rakan-rakan.
“Orang ramai boleh mengunjungi laman web kami iaitu
www.cybersecurity.my kerana daripada laman web ini, mereka boleh masuk
ke laman CyberSAFE (www.cybersafe.my) yang terdapat pelbagai tip serta
nasihat berhubung keselamatan siber di situ,” katanya lagi.
Sekiranya jenayah siber tidak diambil perhatian dengan serius,
potensi kerugian dalam beberapa sektor ekonomi di Malaysia dalam jangka
masa lima tahun dianggarkan boleh mencecah sehingga RM2.73 bilion. Jenayah siber boleh memberi kesan negatif kepada imej negara dan
menjejaskan peluang pelaburan dari luar negara kerana kurangnya
keyakinan serta kepercayaan terhadap tahap keselamatan siber negara.
Petikan : www.kosmo.com.my 29/12/2011
No comments:
Post a Comment