Saturday 31 December 2011

Anak miskin ‘orang penting’ getah



BAHAGIA...Salmiah bersama anak perempuan, Anis Sabrina Mohd Sabarudin dan menantu.

JIKA ditanya cita-citanya dewasa kelak, gadis sunti itu menjawab ringkas mengenai keinginan menaiki keretapi dianggap gah pada zaman 1950-an.

Kerap kali mendapat keputusan peperiksaan teruk, wanita yang kini bergelar Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (MRB) ini tidak pernah sesekali membayangkan berada di kedudukan ‘orang penting’ itu.
Dibesarkan dalam keluarga dikemudi arwah ibu, Hasiah Kasim, Salmiah Ahmad, 54, menganggap zaman kanak-kanaknya tidak seperti orang lain. Tanpa insan bergelar bapa di sisi, ibunya terpaksa bekerja sambilan menyara hidup tiga beranak, perjalanan hidup dibelenggu kedaifan sekali gus meredam minat untuk menjadi pelajar cemerlang.

Tatkala tidak berkeyakinan berjaya dalam pelajaran, pada usia 11 tahun, Salmiah mengejutkan warga Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Bukit Mertajam apabila mendapat tempat keempat di dalam kelas berbanding kedudukan 30 sebelum ini.

Orang pertama dikhabarkan berita gembira itu adalah ibunya. Bermula detik itu, Salmiah menyedari bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh status taraf hidup sebaliknya bergantung kepada keupayaan, usaha dan keyakinan seseorang.

“Ibu saya orang yang paling gembira sebaik mengetahui keputusan peperiksaan.
Sejak itu, saya menanam cita-cita untuk menuntut di sekolah menengah yang hebat iaitu Kolej Tunku Kursiah (TKC), Seremban.

“Memiliki kecerdasan, pengetahuan luas dan fasih berbahasa Inggeris antara kriteria utama memasuki TKC, di situ wujud kesulitan bagi saya yang bersekolah menggunakan bahasa Malaysia sebagai penghantar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Lebuh Ampang.

Selepas mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada guru, Salmiah berjaya memasuki TKC ketika berusia 17 tahun. Lebih mengagumkan, dia berpeluang belajar kelas sama dengan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Paduka Marina.

“kali pertama bertemunya (Marina), saya memang kagum dengan kebijaksanaan dan kepetahan beliau. Dia pernah berkata bercita-cita menjadi ‘freelance writer’ (penulis bebas), sedangkan ketika itu saya langsung tidak tahu makna perkataan ‘freelance’.

“Menyedari kurang pengetahuan dan tidak cekap dalam kelas, membuatkan saya mengulangkaji pelajaran dua kali ganda berbanding rakan lain,” katanya.

Inspirasi ketokohan individu berjaya membuatkan Salmiah lebih bersemangat dan berusaha gigih mengejar kejayaan dalam pelajaran. Ketika rakan sebaya gembira dikunjungi ibu bapa masing-masing, wanita ini terpaksa memendam rasa apabila ibu hanya mampu mengirimkan doa buatnya lantaran kedaifan hidup.

Berkat doa si ibu dan ketekunan meningkatkan pengetahuan, akhirnya Salmiah berjaya mendapat keputusan Malaysian Certificate of Education (MCE) cemerlang sekali gus terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kimia.

Berada di tanah manusia bermata biru dan kebudayaan berbeza, membuka mata wanita ini kepada dunia baru tatapi ia sedikit tidak menggoyahkan impian Salmiah. Melihatkan ketekunan pelajar Malaysia di negara berkenaan hingga dijadikan model berjaya, semakin kuat jiwanya mendalami ilmu baru.

Biarpun ditawarkan biasiswa, Salmiah bijak membahagikan masa sebagai pelajar dan pekerja sambilan. Bekerja sebagai tutor membolehkan wanita ini mengirimkan wang kepada ibu di kampung walaupun sedikit, ia tanda penghargaan terhadap jasa orang tua itu.

Selepas tamat pengajian peringkat sarjana dan pulang ke tanah air, rezekinya terbuka luas apabila ditawarkan menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1981 kemudian menyertai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebagai pegawai penyelidik.

Pada saat ingin mengecapi kejayaan, dia dilanda dugaan dalam rumahtangganya hingga membawa perceraian selain ibu kesayangan disahkan menghidap penyakit diabetes pada 1992.

Gigih mengharungi hidup sebagai ibu tunggal, Salmiah tega mengembalikan keyakinan diri dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah Kimia Fizikal di Imperial College, London, England walaupun terpaksa meninggalkan anak kecilnya bersama ibu di kampung.

Sejurus tamat pengajian, beliau menerima tawaran daripada syarikat gergasi dan berhasrat meninggalkan MPOB dengan alasan dia mampu memikul tanggungjawab lebih besar berbanding kedudukannya ketika itu tetapi tidak kesampaian.

Kekal bersama MPOB, rezekinya bertambah dengan pengenalan kumpulan kecil penyelidik di bawah kelolaan Salmiah kemudian bertukar menjadi pusat sebelum jabatan di agensi terbabit.

Kepercayaan yang diberikan Ketua Pengarah MPOB ketika itu, Tan Sri Yusof Basiron, membuatkan semua urusan penyelidikan Salmiah berjalan lancar selain mengakui kewibawaan tokoh berkenaan bekerja.

Melihat keupayaan Salmiah mengendalikan jabatan penyelidikan, beliau dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Dalam Perkhidmatan) MPOB selama tiga tahun sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah di MRB berkuat kuasa Februari 2010.

Biarpun permulaannya ragu-ragu untuk mengetuai MRB, Salmiah memberanikan diri untuk belajar daripada bawah bagi memahami setiap aspek penting merangkumi agensi berkenaan.

Menyifatkan MRB sebagai berlian yang tidak dikilatkan, Salmiah berazam mengembalikan zaman kegemilangan dengan memperkenalkan strategi baru iaitu Industri dan MRB sendiri dalam tempoh 100 hari bekerja.

Menggunakan pengalaman bersama MPOB dan kebolehannya menguruskan kakitangan, wanita tabah ini optimis MRB bakal berfungsi menjadi satu daripada agensi komoditi berjaya bukan saja di Malaysia bahkan di mata dunia.

Lebih bertuah, pada saat Salmiah melangkah kaki masuk ke bangunan MRB, ketika itu harga pasaran getah dunia meningkat sekali gus mempopularkan kembali peranan agensi berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM), sempena sambutan hari jadi ke-72, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dengan membawa gelaran Datuk menjadi satu penghargaan terbesar bagi dirinya yang bermula daripada kesusahan.

Petikan : www.hmetro.com.my
Oleh ANIZA ZAINUDIN
anizazainudin@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment