NOVEL mistik, Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) telah mencetuskan fenomena pada tahun 1980-an. Sebanyak 284 siri novel itu disiarkan majalah Variasari terbitan
Kumpulan Variapop selama lebih 23 tahun bermula dari bulan April 1981
hingga Januari 2005.
Ia adalah siri terpanjang dan paling lama disiarkan dalam majalah di
Malaysia. Disebabkan SBDJ, Variasari pernah dicetak sehingga 120,000
naskhah sebulan. Tetapi penulisnya, Tamar Jalis kekal misteri selama 30 tahun sehinggalah beliau mendedahkan identiti sebenarnya Jun lalu.
Beliau ialah Ahmad@Mohd. Radzi Mahmud, 73, yang berasal dari Beruas,
Perak. Menurut Ahmad, nama Tamar Jalis diambil daripada nama jin dalam
Hikayat Inderaputera iaitu sebuah kesusasteraan Melayu lama. Walaupun beliau seorang penulis cerita hantu terkenal, penampilan
Ahmad semasa ditemui di sebuah kompleks beli-belah di Damansara,
Petaling Jaya baru-baru ini tidak seaneh yang dibayangkan.
Beliau selesa memakai baju kemeja dan berseluar jean. Di sebalik kedutan pada wajahnya, beliau kelihatan sihat dan kuat. “Pada mulanya SBDJ cuma cubaan untuk menaikkan jualan Variasari yang
agak lembap pada masa itu tetapi tidak sangka pula ia mendapat sambutan
hangat pembaca sehingga majalah itu diulang cetak sebanyak beberapa
kali,” jelas Ahmad yang pernah bekerja sebagai buruh dan peniaga malah
wartawan sebuah akhbar.
Beliau yang kini menetap di Kota Damansara berkata, idea untuk menulis siri novel itu timbul selepas beliau berusia 40 tahun. “Biasalah orang muda, semasa usia 20 atau 30-an, kita kurang serius terhadap pelbagai perkara termasuk kehidupan.
“Namun, selain untuk melariskan jualan Variasari, saya merasakan
pengalaman mengikuti datuk saya perlu diceritakan,” ujarnya mengenai
datuknya, Kulup Muhamad Diah atau lebih dikenali dengan panggilan Long
Mat Piah.
Long Mat Piah ialah seorang pengamal perubatan tradisional. Ahmad
banyak mengikut datuknya itu mengubat orang yang mengalami gangguan jin
sehingga membawa beliau ke semua daerah di Perak.
Muncul
Keluarga Ahmad tinggal berdekatan dengan rumah datuknya. Beritahu
Ahmad, mungkin disebabkan beliau cucu yang paling disayangi jadi beliau
sering diajak oleh datuknya untuk mengubat.
“Pengalaman melihat dan mendengar suara makhluk halus khususnya
daripada individu yang dirasuk jin memberi idea untuk saya menulis.
“Pada mulanya saya agak takut tetapi disebabkan ilmu yang ada pada datuk menyebabkan saya yakin dan berani,” kata Ahmad.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Ahmad ialah semasa
mengikuti datuknya menghalau hantu seorang wanita yang telah meninggal
dunia tetapi tetap mengganggu keluarganya.
“Wanita itu mengamalkan satu ilmu hitam iaitu nasi tangas untuk membuatkan suaminya tunduk dan taat kepadanya.
“Selain itu, wanita itu juga ingin suaminya yang juga seorang kaki judi berubah,” ceritanya.
Ahmad memberitahu, disebabkan mengamalkan ilmu yang salah itu, roh wanita itu sering mengganggu keluarganya.
“Syukur datuk saya berjaya menghalau hantu wanita tersebut daripada terus mengganggu keluarganya,” ujar beliau.
Namun, beliau mengaku tidak pernah dirasuk atau diganggu makhluk halus sehingga sekarang. Ahmad memberitahu, beliau mampu menyiapkan satu siri novel SBDJ dalam tempoh sehari.
“Saya sendiri pernah melaluinya jadi lebih mudah untuk menulis.
Memang ada penambahan cerita tetapi tidak terlalu terpesong daripada
cerita sebenar,” katanya.
Namun, mengapa pada usia lebih 70 tahun baru Ahmad terfikir untuk menonjolkan diri?
“Cukuplah, asalkan nama jin Tamar Jalis popular,” ujarnya.
Jelasnya lagi, beliau juga mengetahui artikel penulis bertajuk Tamar
Jalis Manusia Misteri yang tersiar dalam Kosmo! Ahad keluaran 24
Januari 2010.
“Saya masih menyimpan artikel itu. Rakan saya A. Jalil Miran
(dikatakan juga pemilik nama Tamar Jalis) banyak membantu saya dalam
menghasilkan SBDJ.
“Jasanya tidak mampu dibalas walaupun beliau telah meninggal dunia,” jelas Ahmad.
Sebelum beredar, penulis bertanya kepada Ahmad sekiranya beliau
mendedahkan identitinya lebih awal, beliau mungkin lebih terkenal dan
mampu menjadi lebih kaya berbanding sekarang.
“Tidak mengapa, cukuplah rezeki yang ada,” katanya.
Kini, novel SBDJ bakal diadaptasi ke dalam bentuk drama televisyen.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nafiela, Syamreen Azam
Shafei yang sekarang menerbitkan novel SBDJ, usaha itu sedang giat
dijalankan termasuk mencari barisan pelakon yang sesuai. “Saya berharap dengan adanya drama SBDJ, cerita seram ini akan ada kesinambungannya,” ujar Syamreen.
Petikan : www.kosmo.com.my
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
No comments:
Post a Comment