|
KEJAYAAN yang dimiliki aktor terkenal Hollywood Tom Cruise hari ini
bukan datang dengan mudah meskipun aktor kelahiran Syracuse, New York
itu memiliki wajah yang tampan. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia
11 tahun dan kehidupan berpindah-randah memaksanya bersekolah di 15 buah
sekolah. Sekolah terakhirnya adalah Glen Ridge High School, New Jersey.
Dibuli merupakan perkara biasa ketika zaman persekolahannya, tambahan
dia mempunyai masalah disleksia iaitu gangguan dalam pembelajaran iaitu
sukar membaca dan menulis. Justeru, Cruise bukanlah pelajar yang
cemerlang ketika zaman persekolahannya, dia mengalih tumpuan kepada
aktiviti sukan dan kecederaan lutut yang dialaminya ketika bergusti,
membuat dia secara tidak sengaja terjun ke dunia lakonan.
Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan Glen Ridge dan memburu impian
sebagai seorang aktor di New York. Waktu siang dia melakukan pelbagai
pekerjaan antaranya sebagai budak penghantar surat sehinggalah sebagai
pembersih restoren dan pada waktu malam diperuntukkan untuk kelas
lakonan sebagai persediaan buatnya menjalani uji bakat iklan, drama dan
filem.
"Bukan mudah untuk saya berdiri seperti hari ini, sebelum berjaya
mendapat kontrak filem pertama Endless Love pada tahun 1981, saya telah
merasai pengalaman ditolak pengarah dan penerbit. Saya tidak menjadi
aktor untuk memiliki kuasa (wang dan populariti) tetapi ia berlaku
dengan sendirinya secara tidak langsung menyebabkan saya memperoleh
lebih banyak peluang.
"Saya juga sedar yang kuasa itu tidak akan kekal selamanya dalam
kerjaya saya sebagai pelakon. Jadi, saya mahu menggunakannya sehabis
yang mungkin, terlibat dalam naskhah yang hebat dan apabila masa itu
berlalu saya akan tersenyum kerana telah menjalani hidup dengan
sepenuhnya," ujarnya.
Meskipun merupakan aktor yang menerima bayaran tertinggi di
Hollywood, dia menegaskan dia tidak pernah melakukan kerja kerana wang.
"Jujur, saya tidak pernah lakukan kerja semata-mata kerana wang. Ya,
sebagai aktor saya diberi pilihan dan tawaran yang menarik tetapi
terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menerimanya atau tidak. Jika
pilihan terletak pada wang dan filem tersebut tidak mendapat sambutan,
wang itu tidak bererti apa-apa," jawabnya yang masih menerima tawaran
berlakon dalam filem indie.
Kini, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam industri perfileman,
Cruise bukan sekadar seorang pelakon tetapi dia juga seorang penerbit
filem dan mungkin juga bakal penyanyi kerana selepas filem Mission
Impossible - Ghost Protocol, dia diangkat sebagai penyanyi rock legenda
dalam filem muzikal berjudul Rock of Ages akan berada di pawagam pada
Jun tahun hadapan.
Menariknya, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Tom benar-benar
boleh menyanyi dan suaranya turut mendapat pujian ramai. Malah, salah
seorang pelakon dalam filem itu yang juga seorang penyanyi terkenal,
Mary J. Blige turut mendedahkan yang dia teringin untuk merakamkan lagu
duet bersama Cruise.
"Jika dia tanya saya, saya terus setuju. Dia memang seorang penyanyi
yang bagus dan benar-benar mempunyai aura sebagai seorang penyanyi
terkenal. Jiwa rock dalam dalam diri seseorang dan Tom memilikinya,"
kata Mary J. Blige.
Kebolehan menyanyi Cruise itu turut diakui oleh isterinya, Katie
Holmes, bagaimanapun memberitahu, suaminya itu mengikuti kelas vokal
selama beberapa minggu sebelum penggambaran bermula.
|
|
"Ya, saya suka menyanyi tetapi saya tidak rasa saya boleh lakukannya
sebaik lakonan. Jika untuk suka-suka ya tetapi untuk serius saya belum
terfikir mengenainya lagi," katanya yang membawakan watak Stacee Jaxx
dalam filem muzikal itu.
Misi mustahil
Aktor yang telah berlakon 44 buah filem itu termasuk semua filem
sekuel Mission Impossible serta terkini Ghost Protocol tidak hanya
berlakon sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit telah melakukan
pelbagai aksi lagak ngeri sebagai ejen perisik bernama Ethan Hunt.
Sebagai penerbit memilih pengarah JJ Abrams untuk mengarah filem buat
kali pertama merupakan satu risiko yang besar tetapi Cruise mempunyai
alasan yang tersendiri terhadap pilihannya.
"Kisahnya begini, saya dan Steven Spielberg tengah bekerja untuk
filem War of the Worlds dan kami berjumpa beberapa orang penulis dan
penulis itu termasuk JJ. Tidak mengambil masa yang lama untuk saya
menyukai kerjanya dan dia seorang yang berkarisma serta bijak.
"Kami bekerjasama secara tidak sengaja apabila setiausaha JJ memberi
saya pita drama aksi Alias musim pertama yang diarah oleh JJ. Selang
beberapa hari saya habis menonton satu musim drama Alias dan saya
menyukai kerjanya. Saya menghubunginya ketika itu dia berada di Hawaii
melakukan penggambaran drama Lost. Sekembalinya dia di Los Angeles kami
berjumpa dan saya tanya bila dia mahu mengarah filem," jelas Tom.
Sungguhpun begitu, untuk seorang pengarah yang tidak pernah mengarah
filem berbajet besar pasti menimbulkan kebimbangan di hati seorang
penerbit.
"Saya rasa seperti ini bukan filem pertamanya. Filem ini paling
kompleks dan sekuel Mission Impossible terbesar yang pernah kami
hasilkan. Lihat sahaja lokasi penggambarannya, China, Rom, Dubai dan
Jerman tetapi kami berjaya melakukan penggambaran mengikut jadual dan di
bawah bajet. Hasilnya juga cukup mengagumkan.
Dalam filem ini banyak aksi lagak ngeri dilakonkan Cruise dan paling
diingati adalah babak dia keluar daripada bangunan tertinggi di dunia
Burj Khalifa di Dubai dan berjalan di atas cermin tingkap bangunan yang
mempunyai ketinggian 2,717 kaki bersamaan dengan 163 tingkat. Katanya
untuk babak yang dilakukan di tingkat 140 itu sahaja dia telah berlatih
selama sebulan.
|
|
"Pengalaman paling tidak boleh saya lupakan berpusing di tepi tingkap
bangunan tersebut dengan bergantung nyawa pada tali setebal wayar
piano. Menakutkan tetapi untuk menampilkan kelainan, ia harus dilakukan
dan seluruh produksi telah mengambil langkah keselamatan terbaik.
"Kami harus mencari lokasi antarabangsa yang mengagumkan dan Burj
Khalifa adalah pilihan terbaik. Saya hanya berlatih sehari untuk aksi
melompat keluar daripada bangunan itu sebelum memulakan penggambaran,"
ujarnya yang berada di Dubai selama lima minggu.
Disoal apakah perkara yang paling menakutkannya ketika penggambaran, jawab Cruise: "Terjatuh ke bawah."
Sambung aktor berusia 49 tahun itu lagi: "Apabila kami melakukan
penggambaran perkara pertama dalam fikiran bagaimana kami lakukan untuk
nampak hebat dan mustahil di layar. Kedua soal keselamatan dan kami
sudah berlatih dan merancangnya selama berbulan-bulan. Saya hanya
lakukan dan ya, saya selamat dan hidup sampai hari ini. Tiada sebarang
kecederaan serius berlaku sepanjang penggambaran."
Sebagai penutup tahun 2011 Mission Impossible - Ghost Protocol yang
menelan kos sebanyak RM459,505,000 itu turut dilakonkan oleh Jeremy
Renner, Simon Pegg, Paula Patton dan bintang Bollywood Anil Kapoor
merupakan sebuah filem yang cemerlang.
Suri di hati Tom
Cruise yang pernah bercinta dengan aktres Penelope Cruz juga pernah
berkahwin sebanyak tiga kali, pertama Mimi Rogers, kedua, Nicole Kidman
dan terakhir sejak tahun 2005 dan kekal sehingga hari ini bersama Katie
Holmes.
Momen tidak boleh dilupakan apabila Cruise secara terbuka mengaku
cintakan Katie dalam program bual bicara popular Oprah Winfrey Show pada
23 Mei, 2005. Dalam program itu, Cruise kelihatan tidak senang duduk
malah siap melompat di atas sofa apabila berbicara tentang Katie.
Kebahagiaan Cruise bertambah apabila dia dikurniakan anak perempuan
bernama Suri yang kini berusia lima tahun dan secara sah berkahwin
dengan Katie pada November 2006. Khabarnya, kini Cruise sedang merancang
untuk menambah jumlah ahli keluarganya.
"Ya, saya berharap dan sedang merancang untuk memperolehi cahaya mata lagi dan beri adik kepada Suri," katanya.
Meskipun sentiasa sibuk, katanya, jika ada kesempatan dan peluang dia
pasti akan membawa keluarganya ke lokasi penggambaran atau promosi
filem seperti ketika dia mempromosi filem sekuel terbaharu Mission
Impossible itu di beberapa buah negara baru-baru ini.
"Setiap hujung minggu jika kelapangan kami pasti akan habiskan masa
bersama seperti berkelah atau melepak di taman, menemani Suri ke pusat
membeli-belah kerana dia suka sangat memakan aiskrim. Dia anugerah
terhebat yang pernah saya perolehi dalam hidup," kata Cruise.
Jelas sekali hidup Cruise kini lebih bermakna. Dia juga sering mengatakan saban hari cintanya pada isteri semakin besar.
"Semakin hari saya semakin cinta Katie, dia seorang yang istimewa dan
memahami saya sepenuhnya. Kehadiran Suri melengkapkan hidup saya
sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Tetapi nampaknya, Suri lebih
banyak mengikut isteri saya terutamanya bab fesyen. Saya yakin apabila
dia besar kelak, dia akan menjadi seorang penggila fesyen, lihat sahaja
dia hari ini, walaupun baru lima tahun, pakaiannya lebih banyak daripada
ibu bapanya," cerita Cruise.
Bercakap mengenai tahun 2012, kata Cruise banyak projek filem menantinya dan tahun hadapan merupakan tahun paling sibuk buatnya.
"Saya ada beberapa buah filem yang menanti penggambaran dan ada yang
sedang dalam penggambaran, sebagai pelakon saya mahu beri yang terbaik
dan impak kepada penonton serta diri sendiri. Sebagai penerbit saya mahu
menerbitkan lebih banyak filem bermutu dan pecah panggung, apa pun
terima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokong kerjaya saya
selama ini," katanya yang turut bercuti panjang sempena Krismas
baru-baru ini.
Petikan : www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment