Wednesday 28 December 2011

Pesona kota lama


SWEDEN memiliki gugusan pulau yang masing-masing menawarkan tarikan tersendiri.


TANYALAH kepada sesiapa yang pernah melawat Stockholm sebelum ini, perkataan pertama yang pasti terpacul di mulut mereka ialah keindahannya.
Menerima jolokan Venice di Utara, ibu negara Sweden itu sememangnya sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, seni bina bangunan, kebersihan serta taman-taman awam.

Lokasi strategik dengan dikelilingi 14 pulau di bahagian pantai timur dan selatan di pinggir Tasik Mälaren menjadikan kepulauan itu begitu istimewa dan destinasi pelancongan utama sejak dulu sehingga kini.

Di sini wartawan Reuters, Anna Ringstrom, mencadangkan beberapa destinasi pelancongan yang boleh dilawati dalam tempoh 48 jam sempena musim sejuk ini.

Jumaat
5 petang: Mulakan perjalanan anda ke Old Town, salah sebuah bandar zaman pertengahan yang masih wujud di dunia berhampiran Fjallgatan. Melewati jalan kecil abad ke-18 yang terletak berhampiran tebing membolehkan menikmati keindahan panorama bandar dan teluk berhampiran sehingga senja melabuhkan tirainya. 

Selain itu, anda juga berpeluang melewati kediaman Lisbeth Salander, heroin yang memegang watak penggodam komputer dalam siri paling laris karya penulis terkenal, Stieg Larsson.

6 petang: Untuk melihat pemandangan yang lebih menakjubkan, apa kata ke Gondolen, yang seakan-akan tergantung di udara berhampiran Teluk Strommen.

Di sana juga, anda boleh berkunjung ke bar dan restoran terbaik di Stockholm yang menempatkan ruang makan luas dan selesa. Ia menawarkan aneka hidangan tempatan dan antarabangsa serta mempunyai lounge yang popular untuk majlis-majlis koktel.

8 malam: Blasieholmens Akvarium & Bar (B.A.R) sentiasa meriah dengan kehadiran pengunjung untuk menikmati makan malam berlatarbelakangkan suasana kota metropolitan berhampiran Teluk Nybroviken. Pilih menu yang diingini atau lebih baik, mula 'mengarang' menu pilihan anda sebaik sahaja melangkahkan kaki ke kaunter. Di situ, ikan dipilih sendiri sambil bermesra dengan chef-chef berpengalaman.

11 malam: Bagi yang mahu menikmati aktiviti malam, halakan langkah melepasi beberapa blok berhampiran pantai Strandvagen ke Hotel Diplomat. Bagi mereka yang dahagakan hiburan malam, berkunjunglah ke Stureplan yang mempunyai beberapa kelab malam terkemuka seperti Riche untuk berparti dan berhibur.

Sabtu
9 pagi: Mulakan hari kedua dengan berjalan-jalan sambil ditemani orang ramai yang sedang berjoging dan kenderaan yang bersimpang-siur menyusuri kawasan dermaga Norr Malasrstrand.


ELEMEN istimewa di Katedral Stockholm pasti mengagumkan mereka yang menyukai konsep seni bina lama.


Terletak di pulau Kungsholmen, berhampiran Teluk Riddarfjarden, di situ anda boleh melihat bangunan Dewan Banda Raya yang menggagumkan. Ia menjadi lokasi acara Nobel Banquet yang diadakan pada Disember setiap tahun. Pada musim panas, pengunjung berpeluang menaiki Menara Dewan Banda Raya bagi melihat panorama sekelilingnya.

10 pagi: Sesi menikmati sarapan pagi atau secawan latte boleh dilunaskan di beberapa buah kafe di Kungsholmen seperti Petite France atau Caffe Ugo. Jika mahu menikmatinya dalam suasana berbeza, anda boleh ke Hotel Grand. Di situ, sarapan pagi dinikmati dengan bergaya sambil ditemani latar Royal Opera, Royal Palace dan gereja Stockholm yang pernah menjadi lokasi perkahwinan Puteri Mahkota Victoria pada tahun 2010.

12 tengah hari: Masa yang sesuai untuk menjiwai seni. Susun langkah anda ke National Museum yang menyimpan pelbagai koleksi lukisan lama dan arca. Sepanjang berada di situ, anda pasti terpukau melihat hasil karya artis terkenal negara itu seperti Carl Larsson dan Anders Zorn.

Jika tidak ke situ sekalipun, anda masih boleh menikmati hasil seni dengan melintasi jambatan kecil ke pulau Skeppsholmen dan Modern Museum. Antara tarikan seni baharu di Stockholm ialah muzium Fotografiska, yang memaparkan karya fotografi kontemporari.

3 petang: Baki percutian anda seelok-eloknya dihabiskan dengan bersantai di Sodermalm, sebuah pulau yang pernah dihuni pekerja-pekerja lombong suatu ketika dahulu dan kini menjadi kawasan kejiranan puak Bohemian.

Lokasi itu juga ideal buat mereka yang memburu fesyen terkini, butik-butik pereka terkenal dan kedai-kedai rekod klasik. Detik menghayati gaya hidup golongan hipi Stockholm haruslah disertai espresso dan juga kek kayu manis di kafe-kafe berdekatan.

Laluan pejalan kaki di Gotgatan, merupakan titik permulaan yang baik untuk bersiar-siar. Anda boleh berkunjung ke dataran Medborgarplatsen melalui kawasan sekitar Skånegatan digelar SoFo, yang terletak berhampiran Nytorget.

6 petang: Sekiranya anda perasan, keseluruhan daerah itu juga dipenuhi bar dan kafe yang sesuai untuk bersantai. Sebagai contoh anda boleh berkunjung ke Snotty's, Nada atau Rival untuk minum petang.


KEINDAHAN Old Town dari udara.


8 malam: Langsaikan selera makan malam di restoran popular seperti di Nytorget Urban Deli. Bagi yang mencari suasana Stockholm yang lebih klasik, bolehlah ke Pelikan yang menjanjikan suasana lebih meriah. Di situ, anda boleh menikmati pelbagai hidangan tradisional yang menyelerakan

11 malam: Masih belum mahu melelapkan mata? Apa kata terus berada anda menuju ke pusat kebudayaan di Sodra Teatern. Kunjungilah bar Marie Laveau atau Debaser yang menawarkan persembahan band live bergenre rock.

Ahad

10 pagi: Melawat Vasa, iaitu sebuah kapal lama yang masih terpelihara dengan baik. Dibina pada kurun ke-17, kapal itu berjaya diselamatkan kira-kira 50 tahun lalu selepas karam ketika melakukan pelayaran sulung pada tahun 1628.

12 tengah hari: Rehatkan diri dengan alam hijau! Di Royal Djurgarden, iaitu salah satu taman terbesar di Stockholm, suasana yang tenang dan mendamaikan dapat dikecapi pengunjung yang berkelah hampir setiap hari.

Tatkala berada di situ, anda boleh menyusuri terusan, merentasi laluan keseluruhan taman dan menjelajah ke kawasan hutan berhampiran.

2 petang: Berhenti sebentar untuk menikmati hidangan makan tengah hari sambil dibuai keindahan landskap di taman biodinamik terbuka, Rosendals Tradgard. Jika mahu melihat rusa liar dengan lebih dekat atau pelbagai seleksi bangunan tradisional dari seluruh negara, berkunjunglah ke muzium terbuka, Skansen.

6 petang: Akhiri hujung minggu anda dan berbelanja sepuas-puasnya di Djurgarden. Nikmati hidangan makan malam di Villa Godthem, restoran klasik yang dibina pada abad ke-19. Restoran itu dibuka pada tahun ini di bawah pengurusan baharu. Ia menawarkan seleksi hidangan tradisional Sweden yang wajib dicuba.


SUASANA di Old Town sangat bersih, berwarna-warni dan penuh dengan imbasan budaya lampau.


Salah satu alternatif lain ialah dengan menaiki feri ke Nybroviken ataupun Stromkajen. Pelayaran selama sehari suntuk itu membolehkan anda melihat keunikan dan keindahan gugusan pulau-pulau yang mengelilingi Stockholm.

Perjalanan ke Pulau Fjaderholmarn, mengambil masa kira-kira 20 minit. Sementara itu, bagi mereka yang mahu melihat Laut Baltik yang membiru bolehlah ke Finnhamn yang mengambil masa dua jam setengah perjalanan. Sekiranya masih belum puas lagi, pulau Uto dan Sandon antara destinasi terbaik yang boleh dilawati. - Reuters

Petikan : www.kosmo.com.my 28/12/2011

No comments:

Post a Comment