RUMAH tangga pasangan suami isteri, Shukri dan Fida begitu bahagia
dalam tempoh 15 tahun lalu. Lebih-lebih lagi mereka telah dikurniakan
tiga orang cahaya mata yang comel.
Hidup mereka mungkin tidak mewah tetapi kasih sayang pasangan itu
melimpah-ruah. Shukri, 43, bekerja sebagai pegawai berpangkat rendah di
sektor kerajaan manakala Fida, 38, ialah seorang suri rumah. Bagaimanapun, lima bulan lalu hubungan suami isteri ini terganggu.
Rutin harian di rumah pangsapuri mereka yang terletak di Cheras,
Kuala Lumpur hampir berubah seratus peratus. Jika dahulu Fida akan
menguruskan anak-anak, kini tiga beradik itu terpaksa berdikari. Sebelum ini Fida tidak pernah lupa untuk menyambut Shukri di muka
pintu apabila si suami pulang daripada kerja, sekarang Shukri hanya
menerima makian daripada wanita bertubuh kurus itu.
Berubah
“Dia berubah sejak lima bulan lalu. Semuanya bermula selepas isteri memberitahu saya yang dia mengalami mimpi buruk dan aneh.
“Pada awalnya saya menganggap mimpi itu perkara biasa. Tetapi
lama-kelamaan sikapnya berlainan sekali. Dia berubah menjadi pemarah,”
terang Shukri.
Fida kerap meracau dan menghamburkan kata-kata kesat kepada Shukri dan anak-anak terutamanya pada awal pagi dan senja.
Fida juga tidak boleh ditegur. Dia akan menengking dan meminta Shukri menceraikannya. Disebabkan masalah itu, Shukri terpaksa mengambil cuti untuk
menguruskan keluarganya. Dia juga tidak dapat melakukan hubungan intim
bersama si isteri kerana sering berdepan halangan.
“Setiap kali didekati, isteri saya seperti tidak selesa dan dia
berasa mual. Boleh dikatakan sejak dia mengalami mimpi aneh itu saya
tidak lagi dapat bersama dengannya hingga sekarang.
“Apabila masuk sahaja waktu Maghrib atau awal pagi, dia akan berubah
sikap. Peliknya dia akan berkeadaan biasa pada waktu lain cuma dia
kelihatan sugul dan sensitif,” kata Shukri.
Menyedari Fida berubah perilaku daripada seorang isteri yang mentaati
suami kepada seseorang yang seakan-akan musuh, Shukri membawa Fida ke
sebuah pusat rawatan Islam di Nilai, Negeri Sembilan.
Di sana Fida dirawat dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan
diberi minum air zam-zam menyebabkan jin yang menguasai tubuh Fida
kepanasan. Sudahnya, semua rahsia mengenai siapa yang melakukan ilmu hitam yang dikenali sebagai sihir pemisah itu dibongkar oleh jin itu.
Dalam keadaan tidak sedar, jin yang menghuni badan Fida memberitahu
nama seorang wanita yang didakwa Shukri merupakan sahabat dan jirannya. Fida turut menjerit meluahkan apa yang diingininya iaitu agar dia ditinggalkan oleh Shukri.
“Aku benci kau. Ceraikan aku, ceraikan aku,” jerit Fida sambil menuding jari telunjuk tepat ke arah suaminya.
Setelah dibacakan ayat-ayat rukyah oleh pengamal perubatan Islam di
situ, Fida menggelupur kesakitan. Pada masa yang sama dia menjerit
meminta tolong daripada seseorang yang dipercayai bomoh yang melakukan
sihir terhadapnya.
“Tolong aku tok cha. Aku panas. Jaga kau Shukri aku akan ganggu kau
sampai mati,” laung Fida dalam loghat Melayu Selatan Thailand sebelum
dia rebah dan pengsan.
Tok cha merupakan panggilan untuk bomoh Siam. Dalam kalangan
penduduk Kelantan dan Selatan Thailand, tok cha juga merujuk kepada sami
Buddha.
Seketika kemudian Fida bangkit. Dia sempat menjeling kepada tiga
orang anaknya yang sedang memerhati gelagat ibu mereka dengan perasaan
sayu.
“Kau bukan anak aku,” jerit Fida kepada anak sulungnya yang berusia 14 tahun.
Luluh dengan kata-kata itu, ketiga-tiga kanak-kanak itu berundur sambil menangis.
Mereka memahami situasi yang dialami ibu mereka itu, tetapi jauh di
sudut hati mereka terkesan dengan kata-kata wanita yang sebelum ini
begitu akrab dengan mereka.
Tokong
“Memang berat kesedihan yang terpaksa ditanggung. Tetapi selagi
perasaan dengki ada dalam diri, manusia tidak akan senang melihat
kebahagiaan orang lain.
“Susah untuk saya mengungkapkan dengan kata-kata apa yang dirasai.
Tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hati saya,” kata Shukri.
Walaupun niat jahat orang yang menghantar sihir pembenci kepada
Fida itu hampir berjaya, Shukri pula semakin tekad untuk mempertahankan
rumah tangga yang telah lama terbina. Dia sedaya upaya mengusir jin
yang menguasai jiwa isterinya itu.
Seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie memberitahu, sihir
berbentuk jampi oleh bomoh Siam untuk memisahkan pasangan suami isteri
sering terjadi.
“Selalunya, barang-barang peribadi mangsa digunakan untuk dijampi.
“Selepas itu, tok cha akan menghantar jinnya berlegar-legar di rumah
mangsa sebelum menabur serbuk besi bak atau ibu besi yang sudah
dijampi di sekeliling rumah. Kebiasaannya jampi itu dibuat di dalam
tokong.
“Selain menggunakan debu besi, kaedah sihir menerusi menjampi nama,
pakaian dan makanan mangsa selain santau angin turut digunakan.
“Jadi berhati-hatilah jika kita menjemur pakaian dalam di luar rumah
kerana ia memudahkan musuh kita melakukan sihir seperti itu,” nasihat
Shamsuri.
Jelas Shamsuri, antara ciri yang ditunjukkan oleh mereka yang telah
terkena sihir pemisah adalah perasaan cinta bertukar benci secara
tiba-tiba, menjadi begitu sensitif, sukar mengaku kesalahan diri,
melihat pasangan berwajah hodoh dan membenci anak-anak.
Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama/ 01/01/2012
No comments:
Post a Comment