|
KETIKA kanak-kanak lain sebayanya memilih permainan video, Ahmad Yazid sudah pun berada dalam dunia realiti. Alat permainan pertama Yazid ketika dia berusia tiga tahun ialah
kamera Lego. Pada usia sembilan tahun, dia sudah membantu bapanya
melakukan kerja-kerja penyuntingan. Bahkan, dia mahir mengendalikan
kamera perakam.
Kemahiran mengendalikan kamera perakam dipelajari daripada bapanya,
seorang jurukamera bahagian berita Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Rakaman siaran berita dan penyuntingan berita adalah perkara pertama
yang menjadi silibus lelaki yang berasal dari Kampung Majidi, Johor
Bahru, Johor itu.
Sejak itu, pemuda yang baru mencecah 27 tahun itu tahu apa yang
diingini dalam hidupnya. Dia memerlukan sebuah kamera, sepasang alat
pencahayaan dan skrip.
"Sebagai seorang jurukamera sambilan di RTM, bapa selalu terlibat
dalam kerja rakaman, penyuntingan visual dan menyusun gambar video. Saya
pun terikut-ikut dengan ayah dan memilih kamera sebagai teman main
ketika muda dahulu," ujar anak ketiga daripada tujuh beradik itu. Ahmad Yazid mengakui guru pertama yang mendidiknya dalam bidang
pembikinan filem berita, video korporat dan dokumentari ialah bapanya,
Ahmad Puad Omar, 58. Peminat nombor satu Ahmad Yazid pula ialah ibunya,
Rohana Sedek, 53.
Dapat kepercayaan
"Setiap kali saya menghabiskan pembikinan sesuatu dokumentari, itulah
pengalaman yang paling manis. Ia tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata," katanya. Namun di sebalik kenangan manis itu, Ahmad Yazid
turut berkongsi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Katanya, ketika berumur 10 tahun, Yazid mendapat kepercayaan bapanya
untuk menyunting sebuah video korporat. Demi kerja-kerja penyuntingan
itu, Ahmad Yazid tidak pergi ke sekolah selama seminggu dan berjaya
menyiapkan kerja-kerja tersebut. Bagaimanapun, memandangkan dia masih
kanak-kanak, bapa Ahmad Yazid terpaksa mengaku bahawa video itu adalah
hasil suntingan beliau.
Namun, dia tidak menyalahkan bapanya. Menurut Ahmad Yazid, dia juga
pernah dihalang daripada memasuki bilik persidangan semasa bapanya
menayangkan video tersebut.
Ahmad Yazid bagaimanapun tidak mengehadkan kemahirannya membuat filem
dokumentari sahaja, bahkan dia melibatkan diri dalam pelbagai
pembikinan dokumentari yang lain.
Berbekalkan minat dan didikan bapanya, Ahmad Yazid akhirnya berjaya
menjadi seorang pengarah. Namun, dunia arahan Ahmad Yazid agak berbeza.
Ahmad Yazid ialah pengarah bersama beberapa dokumentari. Tiga daripada
hasil kerjanya pernah ditayang di saluran berbayar Astro, Crime and Investigation Network (CIN) dan History Channel iaitu Mas Selamat: The Fugitive Terrorist, The Mamak Gang dan Al Maunah - The Malaysian Heist.
Dengan label dokumentari yang kukuh, Ahmad Yazid terus terdorong
untuk menghasilkan dokumentari bertaraf antarabangsa. Kali ini,
dokumentari terbaharunya melibatkan kes jenayah yang pernah
menggemparkan negara tujuh tahun lalu iaitu kes pembunuhan Canny Ong.
Ahmad Yazid mengakui terpaksa duduk berjam-jam dan berhari-hari dalam
menyiapkan dokumentari tersebut agar dapat memenuhi kehendak penonton.
Ahmad Yazid memulakan kerjaya dengan menerbitkan dokumentari mengenai
pendidikan seks. Nasib menyebelahinya, apabila dokumentari tersebut
menang dalam Festival Filem Bebas oleh Pusat Komuniti Masyarakat (KOMAS)
dan dianugerahkan sebagai dokumentari terbaik Anugerah Video Muzik
(VMA). Dengan kemenangan tersebut, Dana Kanak-Kanak Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi kepercayaan kepada Ahmad Yazid
untuk menghasilkan dokumentari mereka.
Bersama seorang rakan, Lydia Lubon, 32, Ahmad Yazid membuka sebuah syarikat produksi sendiri iaitu Rack Focus Films. Selepas terlibat dalam beberapa dokumentari, buat julung-julung
kalinya mereka berpeluang membuat dokumentari untuk CIN pada tahun 2009.
Walaupun kes mendiang Canny mendapat perhatian secara meluas daripada
pelbagai pihak, Ahmad Yazid mengakui laporan yang disiarkan kurang
nilai-nilai kemanusiaan. Atas alasan itulah dia membuka semula fail itu.
Tafsiran orang ramai
"Selain meminati pasukan produksi CIN itu sendiri, dalam kes mendiang
Canny, saya melihat orang ramai membuat pelbagai tafsiran sendiri. "Melalui dokumentari ini, krew kami berpeluang mendedahkan perkara
sebenar daripada individu yang terlibat," kata Ahmad Yazid merujuk
kepada para pihak yang ditemuramah untuk dokumentari tersebut.
Mereka yang terlibat ialah ibu Canny Ong, Pearly Visvanathan Ong, 63,
teman rapat Canny, Noreen Natasha, wartawan pertama yang tampil dengan
berita itu, Fay Angela D'Cruz, pakar kriminologi dan psikologi, Dr.
Geshina Ayu Mat Saat.
Selain itu, antara sumber-sumber yang memberi maklumat termasuklah
Timbalan Pendakwa Raya Awam kes tersebut, Datuk Salehuddin Saidin,
Timbalan Suprintenden Polis dan Ketua Unit Siasatan Jenayah kes itu,
Amidon Adnan.
Turut terlibat ialah Ketua Bahagian Penyiasatan Jenayah ketika itu,
Senior Asisten Komisioner (SAC) Abu Bakar Mustafa, peguam bela pesalah,
Ahmad Najib Aris, Rosal Azimin Ahmad, Ketua pasukan pertahanan pesalah,
Muhammad Haniff Khatri Abdullah dan polis peronda ketika kejadian, Lans
Koperal, S.Ravichandran.
"Kami ada menghubungi pesalah kes pembunuhan ini, Ahmad Najib. Dia
bersetuju untuk berkongsi cerita untuk dokumentari ini tetapi kami tidak
dibenarkan melakukan demikian atas dasar undang-undang oleh pihak
penguatkuasa penjara."
"Saya percaya dokumentari ini telah diolah dan diceritakan kembali
dengan memberi keutamaan kepada unsur-unsur kemanusiaan. Input daripada
mereka yang terlibat juga memberi impak yang baik, sehinggakan saya
sendiri dapat merasai apa yang dilalui oleh mendiang Canny," kata Ahmad
Yazid ketika ditemui baru-baru ini.
Cabaran yang dihadapi sepanjang menyiapkan dokumentari ialah proses pembikinan yang memakan masa hampir satu tahun. Menurut Ahmad Yazid, selain merujuk kepada undang-undang dan
peraturan, dokumentari itu perlu berurusan dengan ibu mangsa, Pearly.
Dalam nada simpati, Ahmad Yazid berkata, krewnya beberapa kali
menghubungi Pearly dan memujuk beliau untuk bekerjasama dalam pembikinan
dokumentari itu.
"Bukan itu sahaja, kami juga mahu membersihkan segala persepsi negatif yang dilemparkan masyarakat.
"Kami ingin menyedarkan masyarakat saat-saat genting yang dilalui oleh mendiang Canny."
Meskipun hanya berkelulusan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),
Ahmad Yazid berjaya mengolah jalan cerita pembunuhan mendiang Canny
secara naratif.
Turut bersama dalam pertemuan krew pembikin dokumentari itu ialah
Penerbit Eksekutif AETN All Asia Networks (AAAN), Chris Humphery,
penerbit Lydia Lubon serta pengarah bersama, pengarah seni dan
penyelidik, Rob Nevis.
Petikan : www.kosmo.com.my
14/12/2011
No comments:
Post a Comment