Friday 30 December 2011

‘Kerana galakan rakan’

FENOMENA filem Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel hasil nukilan penulis ini 10 tahun lalu seolah-olah kembali mengangkat namanya di persada seni penulisan novel tanah air.

Setiap peminat novel pasti tertanya-tanya siapakah wanita yang berjaya menghasilkan tsunami dalam dunia perfileman hanya melalui karya novelnya itu?

Malah penulis sendiri yang sudah lama ‘berundur’ daripada kegiatan membaca novel tebal kembali ‘berkecimpung’ dalam dunia pembacaan novel selepas terpikat dengan gaya penulisan Fauziah Ashari melalui karyanya, Pergilah Sepi.

Sejak itu, duit poket akan dibelanjakan dengan cermat supaya boleh memiliki hasil fikiran Fauziah yang diterjemahkan dengan gaya lembut dan bersahaja. Anak kelahiran Parit Sulong, Batu Pahat, Johor itu tidak pernah menyangka galakan yang diberikan sahabatnya satu ketika dulu akhirnya memberikan pulangan yang cukup lumayan pada dirinya kini.

Menurutnya, pada waktu itu dia tidak menyedari bakat penulisan yang dimilikinya sehinggalah diberitahu sahabatnya yang mengatakan dia boleh menulis.

“Saya tidak suka keluar rumah tanpa arah tujuan. Sebenarnya ketika itu keadaan di rumah seolah-olah membuka peluang untuk saya menulis. Selain ada banyak masa lapang, di rumah juga ada komputer yang lama terbiar. Masa itulah timbul desakan untuk mencuba, untuk melihat apakah saya benar-benar berbakat seperti yang dikatakan kawan-kawan.

“Saya cuba menghasilkan sesuatu yang lain daripada biasa. Dari situlah saya mula berkecimpung dalam dunia penulisan sehingga kini dan ternyata bidang ini memberikan saya cara untuk meluahkan daya kreativiti tersendiri,” katanya.

Fauziah yang baru menjangkau usia 40 tahun berkata, sungguhpun tidak memiliki pengetahuan asas dalam bidang penulisan tetapi dia menjadikan penulis sedia ada sebagai gurunya.

“Saya banyak mempelajari cara menulis melalui mereka sungguhpun secara tidak formal tetapi ia banyak mengajar saya kerana gaya penyampaian setiap orang berbeza.

“Selain itu, kebanyakannya adalah melalui pemerhatian serta pembacaan bahan bacaan lain yang boleh diperoleh selain daripada novel tempatan.

Dari mana dia mendapat ilham sehingga watak dalam novelnya terasa benar-benar ‘hidup’? Sukar untuk Fauziah menerangkannya kerana apabila berada di hadapan komputer, idea untuk menulis seolah-olah datang mencurah, mengalir laju dalam fikirannya.

Malah ditanya mengenai cara pengembangan watak yang terdapat dalam cerita yang direkanya, Fauziah berkata, dia melihat setiap watak yang dihasilkannya adalah penting dan perlu diberi perhatian sebaik-baiknya walaupun hanya bertindak sebagai watak sampingan saja. Ketika menulis, dia cuba meletakkan dirinya sebagai watak yang diciptanya.

“Ketika menulis, saya cuba menghayati setiap watak dan pada masa sama turut merasai pergolakan emosi yang berlaku di dalamnya.

“Ini memudahkan saya untuk meneruskan pengembaraan setiap watak mengikut logik akal dan seterusnya membawa setiap watak hingga ke akhir cerita,” katanya.

Memulakan penghasilan novel pertamanya pada 2001 (Pergilah Sepi), ibu kepada empat cahaya mata ini menjadikan bidang penulisan sebagai dunianya. Kini dia sudah menghasilkan lapan novel yang menjadi kegemaran ramai peminatnya termasuk Ombak Rindu.

Menurutnya, kebanyakan karyanya berkisar mengenai cinta yang hadir sesama manusia, cinta terhadap Allah, keluarga, kehidupan, masyarakat, kemanusiaan serta agama.

“Semua ini adalah rencam biasa yang boleh dikaitkan dengan kisah masyarakat dan segala pergolakan berlaku menjadi sumber untuk saya menghasilkan buku yang mampu menarik perhatian peminat novel tanah air. Ini penting untuk cerita yang direka lebih bersifat nyata dan bukan sekadar rekaan dan khayalan penulis semata-mata,” katanya.

Malah dia juga turut menerbitkan dan memasarkan bukunya sendiri di samping mendapat bantuan beberapa pengedar yang sudi mengedarkan karyanya. Dia juga membayangkan kemungkinan mengembangkan bidang ‘kerjayanya’ kepada penerbitan buku.

Walaupun dihimpit kontroversi disebabkan filem Ombak Rindu yang membuatkan ramai penonton menitiskan air mata, namun wanita cekal ini tidak pernah sesekali mengalah dalam meneruskan kerjayanya dalam bidang penulisan yang sudah sebati dengan jiwanya.

Bagi Fauziah, kontroversi sebegitu pasti tidak akan berlaku sekiranya rasa hormat dan menghargai wujud dalam diri setiap orang. Secara peribadi, dia berasa ‘berjaya’ apabila hasil kerjanya dihormati, diminati dan memberi manfaat kepada mereka yang membacanya dan seterusnya mempengaruhi generasi seterusnya hingga generasi baru itu juga mendapat manfaat sewajarnya.

“Seseorang itu hanya akan dianggap berjaya jika orang yang dididik berjaya mendidik insan seterusnya hingga menjadi orang berguna. Maksudnya apabila A mendidik B, kemudian B mendidik C, seterusnya C menjadi insan berguna. Maka, orang yang berjaya adalah A manakala B dan C belum berjaya lagi.

“Inilah prinsip yang diajar guru matematik ketika saya berada dalam tingkatan lima yang saya genggam hingga hari ini,” katanya.

Mengharungi arus masalah menjadikan Fauziah lebih tabah dan tidak menyekat ‘kelahiran’ buku terbaru berjudul Kan Kukejar Cinta Kamu yang akan berada di pasaran penghujung Disember ini ataupun selewat-lewatnya Januari tahun depan.

Ia mengisahkan seorang isteri mengejar cinta suaminya yang kehilangan identiti diri selain menyelitkan fakta agama dan sosial masyarakat. Jika Ombak Rindu yang dihasilkan 10 tahun lalu memberi paparan kepada watak Hariz, tetapi kali ini kelainan dibawakan melalui watak heroinnya, Alma iaitu isteri yang menagih cinta suami.


PROFIL:

NAMA:                   Fauziah Ashari
ASAL:                     Parit Sulong,
                                Batu Pahat
USIA:                      40 tahun
TARIKH LAHIR:    13 Mei 1971
ADIK-BERADIK:   Anak kelapan daripada sembilan beradik
HOBI:                      Membaca, menonton, memerhati, memikir
PENDIDIKAN:        Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
STATUS:                  Berkahwin

KOLEKSI BUKU:   Pergilah sepi (2001), Ombak Rindu (2002), Setia Menanti (2004), 
                                 Cinta Tiada Akhirnya - Ombak Rindu 2 (2005), Duri (2006), 
                                 Rindu Cintaku - Ombak Rindu 3 (2008), Matahari Cerah Lagi (2010), 
                                  Bisik-Bisik Gelora (2011), Kan Kukejar Cinta Kamu (2011/2012).

Petikan : www.hmetro.com.my
              30/12/2011
Oleh     : Rosmaliana Aida Mohd Adnan
              rosmaliana@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment