|
SUASANA sedih menyelubungi Korea Utara. Warga tempatan di Pyongyang
tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur menangis teresak-esak
meratapi kematian pemimpin tertinggi negara mereka, Kim Jong-il.
Ratapan kesedihan itu turut terpancar pada wajah seorang pembaca
berita di sebuah stesen televisyen Korea Utara. Sewaktu membaca berita
mengenai kematian Jong-il, 69, suaranya bergetar dan tersekat-sekat
kerana menahan sebak.
Media rasmi Korea Utara mengumumkan Jong-il meninggal dunia ketika
dalam perjalanan ke luar bandar Pyongyang dengan menaiki kereta api
akibat serangan jantung.
Pemergian Jong-il merupakan satu kehilangan terbesar kepada warga
Korea Utara. "Beliau seorang pemimpin yang sentiasa bertungkus-lumus
dalam memastikan rakyatnya gembira.
"Saya menyifatkan Jong-il seorang pemimpin tegar dalam memastikan
Korea Utara terus maju setaraf dengan negara-negara maju yang lain,"
jelas pens
Berita tentang tahap kesihatan Jong-il yang tidak memuaskan mula
tersebar sejak tiga tahun lalu. Beliau bukan saja lemah akibat serangan
angin ahmar malah turut didiagnosis menghidap kanser pankreas dan
diabetes.
Tahap kesihatan Jong-il telah menimbulkan persoalan mengenai siapa
yang bakal menggantikan kedudukannya sekali gus menguasai tentera dan
program senjata negara itu. Pada bulan Oktober tahun lalu, Jong-il
melakukan peralihan kuasa dengan melantik anak bongsunya, Kim Jong-un,
27, untuk menggantikan tempatnya.
Pemimpin yang mementingkan kesatuan rakyat melalui ideologi komunis
dan fahaman Juche itu menyifatkan proses menamakan pewaris sementara dia
masih hidup amat penting bagi mengelakkan krisis perebutan kuasa pada
kemudian hari.
Kuasa diktator
Menyorot struktur pemerintahan di Korea Utara, Jong-il memikul
tanggungjawab sebagai pemimpin pada tahun 1994, selepas bapanya, Kim
ll-sung meninggal dunia pada usia 82 tahun. Sejak itu, Jong-il
memerintah negara yang mempunyai 24 juta penduduk itu.
Pengarang Diplomatik agensi berita The Guardian, Julian Borger pernah
menyatakan peralihan kuasa diktator menerusi tiga generasi merupakan
yang pertama kali berlaku dalam sejarah moden.
Jong-il dilahirkan di sebuah kem tentera rahsia di Gunung Baekdu, Jepun Korea pada 16 Februari 1942.
Jong-il mendapat pendidikan di Sekolah Rendah No.4 dan Sekolah Tengah
Tinggi No.1 di Pyongyang. Sepanjang sesi persekolahan, Jong-il aktif
melibatkan diri dalam bidang politik. Antaranya Persatuan Kanak-kanak
dan Liga Demokratik Belia (DYL).
Sebaik menamatkan persekolahan peringkat menengah, peminat sukan bola
keranjang itu melanjutkan pengajian pendidikan bahasa Inggeris di
Universiti Malta, Malta. Sekitar tahun 1957, beliau dilantik menjadi Pengerusi DYL untuk
peringkat sekolah menengah. Pada ketika itu, Jong-il menyarankan program
antipuak dan menerapkan pendidikan ideologi dalam kalangan rakan-rakan
sekelasnya.
Sering dikaitkan sebagai salah seorang pemimpin paling kuat menindas
rakyatnya, Jong-il selalu menampilkan sosok yang ganjil. Bertubuh kecil
tetapi sangat berkaliber dan karakternya dengan gaya rambut kembang
telah dipersenda oleh sesetengah negara Barat.
"Dia seorang yang misteri, saya rasa kerana gayanya. Misteri adalah
sumber pengaruh dan kuasa. Dia telah memastikan sesuatu perkara berada
dalam ketidakpastian," kata pengarah Pusat Pengajian Isu-isu Global,
Universiti Georgia dan kerap melawat Korea Utara, Han S. Park.
Namun, rakyat Republik Rakyat Demokratik Korea Utara sangat
menghormati Jong-il. Bapanya, Kim Il-sung ialah pengasas Korea Utara
yang mendapat sokongan Soviet selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.Jong-il masih seorang kanak-kanak apabila komunis Korea Utara
menyerang Korea Selatan yang mendapat sokongan Amerika. Tindakan itu
mencetuskan Perang Korea pada tahun 1950.
Selepas perang tamat, Jong-il mengikut falsafah yang digunapakai oleh
ayahnya iaitu Juche atau pergantungan pada diri sendiri, asas pada
sifat bersederhana Korea Utara. Kedua-dua bahagian Korea tidak pernah
menandatangani perjanjian damai dan kekal berperang secara teknikal
dengan dipisahkan oleh zon bebas tentera.
Korea Utara mengangkat tempat lahir rasmi Jong-il adalah lokasi
paling suci dan tertinggi, Gunung Paektu. Puncak gunung itu berada di
bahagian utara bersempadan dengan Manchuria.
Melarikan diri
Legenda rakyat Korea mengatakan bangsa tersebut lahir di situ lebih
5,000 tahun lalu. Bagaimanapun, para pengkaji lebih bersifat objektif
mengenai tempat kelahiran pemimpin itu iaitu di wilayah Timur Jauh atau
Soviet Union.
Bapa Jong-il pernah melarikan diri ke sana apabila Jepun memburu Kim
Il-sung yang banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti gerila di wilayah
jajahan Jepun, Korea. Keluarga Jong-il pulang ke bahagian utara Semenanjung selepas Jepun
menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua dan diktator Soviet, Josef Stalin
melantik Kim Il-sung menjadi Ketua Republik Rakyat Demokratik Korea.
Adik lelaki Jong-il mati lemas ketika kanak-kanak lagi manakala
ibunya meninggal dunia ketika dia berusia 7 tahun. Sebaik Perang Korea
meletus, dia dihantar ke Manchuria dan kembali semula selepas tiga tahun
apabila perang tamat. Biarpun berdepan dengan segala kesusahan, Jong-il hidup mewah dan mendapat pendidikan sebagai anak lelaki pertama diktator.
"Pintu-pintu peluang terbuka luas untuknya sejak dari usia muda
lagi," kata profesor sains politik, Universiti Hawaii yang pakar dalam
kerajaan Pyongyang, Dae-ook Suh. Sedikit demi sedikit, Jong-il dididik untuk menjadi pihak atasan dan
membuat kemunculan di tempat awam yang dipenuhi dengan sorakan orang
ramai.
Pada tahun 1980, Kim Il-sung secara rasmi melantik anaknya sebagai
pewaris yang sah. Dia diberi posisi paling kanan di Sekretariat Parti
dan Suruhanjaya Tentera, Politburo.
Jong-il memakai gelaran Dear Leader dan pihak pemerintah mula mencipta personaliti sucinya yang menggunakan acuan sama dengan bapanya yang dikenali sebagai Great Leader.
Atur negara
Tiga tahun selepas Kim Il-sung mati secara mengejut akibat serangan
jantung pada usia 82 tahun, ramai pemerhati luar meramalkan Korea Utara
akan tumbang kesan daripada kehilangan tersebut. Para penganalisis merumuskan bahawa Jong-il tidak begitu pandai mengaturkan pemerintahan.
"Saya tidak mengambil serius terhadap khabar-khabar angin yang tidak
rasional terutama mereka yang tiada kaitan dengan pemerintahan.
"Saya percaya dia seorang yang bijak, pragmatik dan boleh menjadi
manusia yang tidak berhati perut. Dia akan memegang setiap orang di
kelilingnya," kata Alexander Mansourov seorang sarjana Korea dan bekas
diplomat Rusia yang pernah ditugaskan di Pyongyang lewat tahun 1980-an.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment