Friday 30 December 2011

Iqra: Rujukan segera jawab kesangsian amalan umat Islam

pix_gal0


BUKU Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab ialah koleksi permasalahan semasa yang sering dihadapi umat Islam khususnya berkaitan amalan dan aktiviti harian menjurus kepada ibadah. Dibahagikan kepada 12 bab, buku menggunakan pendekatan soal jawab itu membincangkan masalah berkaitan kebersihan, ibadat wajib, ibadat sunat, kewajipan menutup aurat, isu rumah tangga dan hukum hakam halal serta haram.

Buku ini memberi penjelasan mudah dan ringkas. Namun, ada soalan yang menarik untuk dipanjangkan hujahnya seperti hukum suami ambil duit isteri tetapi penerangan terlalu pendek, mungkin menimbulkan rasa tidak puas kepada pembaca. 
 
Dalam dunia hari ini tidak dinafikan ada suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah dengan alasan isteri mempunyai gajinya. 
 
Namun, sebagai rujukan, buku ini membantu pembaca mendapatkan jawapan kepada isu diragui dengan susunan lebih sistematik.

Azhar terkenal sebagai pendakwah yang aktif mengajar serta dijemput untuk berceramah mempunyai gaya penyampaian tersendiri kerana perwatakannya mudah didampingi, berani dan lucu.

Satu lagi buku terbitan PTS, Biar Bidadari Mencemburui Dirimu adalah koleksi inspirasi wanita yang mengharapkan syurga sebagai destinasi akhir dan pastinya mencari cara membawa mereka yang terpilih menjadi ahli syurga.

Antara kupasan menarik dalam buku ini ialah isu kepemimpinan, fesyen sebagai tuntutan atau gaya hidup, tujuan perkahwinan, kehebatan ayah serta keagungan ibu dan kisah inspirasi yang mendidik jiwa Muslimah.
Karya terjemahan daripada bahasa Indonesia lebih menarik kerana mengemukakan kisah zaman Rasulullah dengan cara lebih segar apabila mengupas isu membelenggu wanita sejak dulu.

Secara tidak langsung, ia memberi sudut pandangan yang relevan dengan perihal bidadari syurga dan wanita dunia. Tulisan ini menyingkap keagungan Allah sebagai panduan untuk menjadi wanita memiliki personaliti bak bidadari.

  • Judul: Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab
  • Penulis: Azhar Idrus
  • Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd
  • Pengulas: Hasliza Hassan
  • Harga: RM15 (Semenanjung), RM17 (Sabah dan Sarawak)

No comments:

Post a Comment