|
HANOI, Vietnam - Pengasas bersama laman jaringan sosial Facebook,
Mark Zuckerberg melakukan lawatan rahsia bersama kekasihnya Priscilla
Chan ke Vietnam, lapor akbar VnExpress kelmarin.
Berdasarkan laporan beberapa sumber, VnExpress menyatakan, Zuckerberg
telah menyewa satu penerbangan dari Bangkok menuju ke Lapangan Terbang
Noi Bai di Vietnam pada 22 Disember lalu.
Beliau diberikan visa untuk memasuki Vietnam dari 12 Disember selama dua minggu. Seorang pembaca menelefon jabatan pengarang VnExpress untuk
memberitahu, dia dapat mengecam Zuckerberg bersama teman wanitanya
semasa terserempak dengan mereka pada Jumaat lalu.
Menurut sumber, Zuckerberg ketika itu memakai baju-T bersama pakaian sukan. Selepas melawat Penjara Hoa Lo di pusat bandar raya ini, beliau
berkunjung ke sebuah kedai telefon bimbit dan kedai jean Levis sebelum
kembali ke hotel penginapannya di sini.
Tambahnya, pemilik Facebook itu kelihatan peramah tetapi beberapa
pengawai peribadinya bertindak menghalang orang ramai daripada merakam
gambarnya.
Selain sumber berkenaan, beberapa lagi sumber menyatakan, Zuckerberg
menginap di sebuah hotel lima bintang, dipercayai sama ada Hotel Hilton
atau Hotel Sofitel Metropole yang terletak dekat Tasik Hoan Kiem di sini.
Bilionair berusia 27 tahun berada di Vietnam dipercayai kerana
kunjungan peribadi sempena cuti perayaan Krismas di Amerika Syarikat.
Beberapa sumber menyatakan, beliau akan melawat sebuah tapak pelancongan popular di Vietnam, dipercayai Pulau Con Dao.
Dalam perkembangan terbaru, Zuckerberg bersama sembilan pengiringnya
bermalam di Ha Long Bay yang dilabel sebagai antara tujuh keajaiban alam
semula jadi di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook itu sempat melakukan aktiviti berkayak dan melawat beberapa buah gua di teluk berkenaan.
Beberapa lagi sumber memberitahu, sebelum pergi ke Ha Long Bay,
Zuckerberg dan teman wanitanya itu telah berkunjung ke pusara Ho Chi
Minh di sini.
Pada Hari Krismas pula, Zuckerberg melakukan perjalanan ke Sapa yang
merupakan destinasi popular wilayah Lao Cai, utara Vietnam. - Agensi
Petikan : www.kosmo.com.my 26/12/2011
No comments:
Post a Comment