|
BAGI seorang ibu dari Subang Jaya, Selangor, Siar Siew Ling, 35,
beliau sudah mula risau memikirkan anaknya yang bakal menjejak sekolah
hanya dalam beberapa hari sahaja lagi. Bakal melalui pengalaman segar
kerenah anak berhadapan dengan sekolah baharu di Tahun Satu, Siew Ling
kelihatan lebih risau berbanding anaknya, Gabriel Kong Tze Hean, 6.
Ini kerana walaupun anaknya itu berasa teruja terutama sekali apabila
sudah mempunyai beg sekolah, pakaian sekolah, kasut dan peralatan tulis
baharu, dalam diam-diam, Siew Ling dapat juga merasai akan berlaku
sedikit kejutan bagi Gabriel.
"Ia akan menjadi satu pengalaman yang sangat berbeza. Walaupun pernah
memasuki tadika dan prasekolah selama tiga tahun iaitu bermula usia
empat tahun, saya tetap takut," katanya.
Tambah Siew Ling lagi, berhadapan dengan persekitaran pendidikan
formal, guru besar, guru sekolah, kumpulan pelajar yang lebih besar dan
peraturan sekolah pasti akan membuatkan kanak-kanak Tahun Satu sedikit
terkejut.
Bagaimanapun ia adalah satu perasaan normal dalam kalangan ibu bapa
supaya mereka lebih bersedia dan mahir mengendalikan situasi yang
pelbagai, demikian kata Pakar Psikologi Klinikal, Program Psiko
Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Madya Dr.
Alvin Ng Lai Oon.
"Apa yang penting, jangan takutkan anak-anak terlalu awal mengenai
zaman persekolahan tetapi, dedahkan secara berperingkat pada usia yang
betul. Biar mereka didedah dengan persekitaran sekolah, melihat
kanak-kanak lain ke sekolah dan bekalkan peralatan sekolah untuk
menyedarkan kini tiba giliran mereka pula ke sekolah," ujar Alvin.
Jangan terlampau risau
Kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan Tahun Satu
dilaporkan banyak berhadapan dengan tekanan atau ketakutan. Walaupun ia
sesuatu yang normal, adalah disarankan supaya ibu bapa mendekatkan
kanak-kanak dengan persekitaran sekolah supaya ketakutan itu tidak lama,
berpanjangan mahupun memberi impak terhadap akademik.
Alvin juga menyarankan agar ibu bapa tidak berkelakuan terlalu
mengendahkan tekanan yang bakal dihadapi kanak-kanak sebaliknya cukup
untuk mengambil kira ia sebagai satu kepentingan.
Mengambil contoh kebimbangan Siew Ling terhadap anaknya yang teruja
untuk ke sekolah, Alvin juga mahu ibu bapa bersedia dengan beberapa
perancangan atau pelan apabila anak mereka mula membuat perangai.
Apa yang dimaksudkan oleh Alvin ialah terhadap kanak-kanak yang akan
mengharapkan ibu atau bapa akan sentiasa menemani mereka sepanjang
berada di sekolah. Kanak-kanak itu akan menangis jika dipisah daripada
ibu bapa atau enggan membuka mulut sewaktu di dalam kelas.
"Mungkin pada hari-hari permulaan, ibu atau bapa perlu memberi
sedikit ruang dan masa. Tetapi jangan sekali-kala memanjakan anak
sehingga anda memaksa diri untuk tinggal di sekolah sepanjang waktu
persekolahan untuk tempoh lama," katanya sambil mengakui ada ibu bapa
yang terpaksa 'berkampung' di sekolah selama lebih sebulan.
Apabila ditanya penyelesaian untuk berhadapan dengan situasi yang
disenarai tadi, Alvin berkata semuanya perlu bermula dari awal oleh ibu
bapa sebagai modal dan disiplin di samping kelonggaran di mana patut.
Bercakap panjang lebar, Alvin merujuk kepada kenyataan seorang lagi
ibu Halina Mihamed Yasin, 32, "Saya berpendapat anak saya akan
berhadapan dengan masalah bangun awal memandangkan sekolahnya bermula
pada sesi pagi."
Kata Alvin, masalah bangun awal pagi bukan satu masalah besar
memandangkan setiap kanak-kanak melaluinya dan lazimnya mampu dilatih
oleh ibu bapa. Katanya, ibu bapa perlu manjadikannya satu rutin dan ibu
bapa perlu menjadi modal asas.
"Juga, ibu bapa boleh memberi ganjaran, jika anak bangun awal. Bukan
merasuah atau tawaran tetapi, ganjaran dan ia dilakukan hanya selepas
kanak-kanak itu berjaya melakukan," katanya yang mengalakkan ganjaran
untuk apa jua kelakuan positif kanak-kanak.
Katanya lagi, latihan untuk bangun awal boleh dilakukan apabila ibu
bapa bersama-sama terlibat untuk tidur dan bangun awal. Lain-lain tip
yang dikongsi Alvin bagi ibu bapa pertama kali mempunyai anak melangkah
ke Tahun Satu ialah untuk memastikan anak-anak diberi pemakanan yang
sihat sama ada sebelum pergi ke sekolah, bekalan makanan pada waktu
rehat dan sepanjang hari. Katanya, diet sihat adalah antara elemen yang
paling penting diberi keutamaan.
Belajar pengalaman anak sulung
Dalam pada itu, Halina, ibu kepada tiga orang anak akui kini giliran
anak kedua pula ke sekolah rendah dan beliau sudah melakukan persediaan
yang sepatutnya.
Sambil tersenyum manis, Halina mengakui seperti kanak-kanak lain,
anaknya, Muhamad Aiman Haziq berasa seronok tetapi, dalam masa ketakutan
itu tetap ada.
"Biasanya kanak-kanak suka pergi sekolah kerana dapat berjumpa ramai
kawan. Dari segi sosial, biasanya tiada masalah tetapi persediaan
akademik, saya terpaksa memberi sedikit tumpuan. Ini hasil pengalaman
anak pertama saya," ujar Halina.
Tambah beliau, sebagai melatih dan bersiap sedia dengan pendekatan
akademik anaknya, Halina bertindak menghantar Aiman ke tuisyen selama
sebulan sebelum sesi persekolahan bermula.
"Saya dapat melihat perkembangannya, walaupun pernah menghantar ke
tadika, saya memilih untuk hantar tuisyen untuk memastikan Aiman tidak
akan ketinggalan di sekolah kelak. Nampaknya dia mampu mengikuti silibus
baru," akuinya.
Menurut seorang guru yang mengajar kanak-kanak kanak-kanak Tahun Satu
di sebuah sekolah di Lembah Kelang, masalah yang dihadapi bukan
sebenarnya daripada kanak-kanak itu.
"Kami boleh mengawal kanak-kanak dan memperkenalkan satu persekitaran
yang mesra. Tetapi sukar untuk ibu bapa mempercayai kami dan
meninggalkan anak mereka," katanya yang enggan dikenali.
Dengan pengalaman hampir lima tahun, guru itu memberitahu, pada
minggu pertama kanak-kanak hanya didedah dengan program orientasi dan
suai kenal. Tetapi apabila ibu bapa bertindak berada di luar kelas dan
terlalu memantau anak mereka, kanak-kanak ini seolah-olah terikat.
"Mereka (kanak-kanak) akan hanya memberi perhatian kepada ibu bapa
yang sedang menunggu di luar dan bukan perjalanan dalam kelas," katanya
kesal.
petikan : www.kosmo.com.my 26/12/2011
No comments:
Post a Comment