|
LELAKI yang juga salah seorang peniaga amplang di Pasar Ikan Masin di
Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu, Sabah dengan penuh teruja
memberitahu, keropok amplang yang terbaik sebenarnya terdapat di Tawau. Katanya, dia sendiri harus merempuh perjalanan dengan memandu sejauh
lebih 600 kilometer (km) yang memakan masa lebih kurang 12 jam untuk
mendapatkan bekalan dari sana.
“Para pelanggan saya terutama dari Semenanjung seolah-olah dapat
mengagak amplang yang saya jual itu datang dari Tawau atau sebaliknya.
Sememangnya, majoriti mereka mahukan amplang dari Tawau kerana rasanya
sangat sedap.
“Kalau awak mahu beli amplang dalam jumlah yang banyak untuk dibawa
jual ke Kuala Lumpur, saya cadang awak pergi ke sana saja. Lagipun untuk
sekilo amplang di Tawau cuma berharga RM16 berbanding di sini yang
berharga RM30,” kata lelaki yang bertubuh sederhana tinggi itu.
Kebetulan, dalam satu tugasan di Tawau, penulis bersama jurufoto,
Noradzrene Mohd. Noor berjaya bertemu dengan seorang pengusaha amplang
yang terkenal di daerah itu iaitu Jeminah Abdullah, 43. Tatkala kelibat kami muncul di muka pintu bengkelnya, senyuman
Jeminah sampai ke matanya yang bercahaya. Namun, bahasa tubuhnya umpama
memberi mesej kepada kami bahawa dia janggal menerima tetamu yang
bergelar media.
Dia seolah-olah sedang menyusun konsonan ketika hendak membutirkan
kata-kata. “Saya hanyalah pengusaha kecil-kecilan saja, buat amplang pun
di sebuah bengkel kecil dan tiada apa-apa yang istimewa,” katanya
sedaya upaya menyogok bahawa dia tidak selayaknya untuk diwawancara.
Namun, kami dan pihak Seranta melihat Perusahaan Keropok D’Umas yang
ditubuhkannya pada tahun 2003 yakin dia punya ruang untuk menjadi
perniagaan yang berskala besar.
Asal usul
Usia bengkel Jeminah nampak lebih tua daripada usianya. Di dinding bengkel itu penuh dengan sijil-sijil penghargaan dan kursus yang digantungnya secara tersusun.
|
|
“Sebenarnya, bengkel ini adalah bekas sebuah balai raya. Kira-kira
sembilan tahun lepas selepas saya ikuti kursus Institut Penyelidikan dan
Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Sabah, saya mulakan bisnes buat
amplang,” katanya yang tidak menyangka posisinya sebagai seorang suri
rumah tangga bertukar menjadi seorang usahawan.
Kepada penduduk Sabah, keropok amplang tidak perlu diperkenalkan
lagi. Namun, tidak semua orang mengetahuinya. Ujar Jeminah, sebelum ini
ramai yang menyangka bahawa keropok amplang itu adalah makanan untuk
ikan.
“Sebagai orang Tawau, saya terkejut juga dengan pandangan itu, tapi
lama-kelamaan, orang sudah tahu bahawa amplang merupakan adalah makanan
ringan,” ujarnya.
Amplang pada asalnya sebenarnya adalah kudapan bagi masyarakat
Melayu Indonesia. Namun mereka tidak menyebutnya sebagai amplang.
Sebaliknya dipanggil sebagai plang sahaja.
Apabila komuniti itu berdikit-dikit berhijrah ke pantai timur Sabah
khususnya pesisir pantai Tawau suatu ketika dahulu, makanan itu kemudian
diuar-uarkan kepada masyarakat setempat.
Hasilnya, amplang menjadi kegemaran masyarakat Melayu berketurunan
Bugis di Tawau. Lebih menariknya, amplang yang berbentuk segi empat
tepat atau silinder dan berwarna coklat keemasan itu dijadikan sebagai
sajian minum petang utama masyarakat Sabah sehingga kini.
Seperti kata Jeminah, amplang yang sudah menjadi santapan tradisi di
negeri Di Bawah Bayu lebih enak dimakan bersama kopi panas. Populariti
makanan ringan itu juga berjaya menjadikan amplang sebagai signatur
makanan di negeri itu.
Lebih daripada itu, keropok dalam bentuk bebola itu kemudiannya
dikomersialkan oleh pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Tawau untuk
menjengah pasaran luar. “Alhamdulillah, makanan tersebut yang pada mulanya hanya dijual di
sini pada awal tahun 1990-an, berjaya menambat hati orang luar. Dari
situ, timbullah idea untuk masyarakat setempat seperti saya mengusahakan
dan memperluaskan industri amplang,” kata Jeminah. Pada masa ini, Tawau adalah pengeluar keropok amplang utama di Sabah
dengan mengeluarkan kira-kira 120 tan metrik yang bernilai RM2.2 juta.
Rumit
Usahawan berketurunan Bugis Melayu itu sudah menemui rentak
perbualan. Dia semakin bersemangat menitipkan segalanya tentang
perusahaannya. Dia kemudian lantas mempelawa kami melihat proses
penyediaan amplang di bilik menggoreng di bengkelnya itu.
Bahang kepanasan di situ sedikit tidak menghalang dirinya memberi
penjelasan kepada kami yang ingin tahu. Tidak banyak peralatan moden.
Rata-ratanya menggunakan kudrat manusia.
Ketika mengambil alih posisi seorang pekerjanya yang sedang memotong
kepingan adunan, Jeminah memberitahu, amplang diperbuat daripada bahan
ikan tenggiri yang berharga RM8 hingga RM12 sekilo di sana.
Mengapa ikan tenggiri? Jawapannya, ikan itu rasanya lebih enak dan warnanya menarik setelah digoreng. Selari dengan peredaran masa, bukan sahaja isi ikan malah, pengusaha
IKS kini mempelbagaikan produk itu kepada perisa sotong dan udang.
“Ramuannya agak mudah, selain isi ikan, sotong atau udang yang
menjadi bahan utama, kita turut gunakan tepung kanji, garam, gula, telur
ayam dan bahan penambah perisa lain,” katanya yang kadangkala turut
serta membantu lapan orang pekerja yang lain memasak. Bagaimanapun ujar Jeminah, proses penyediaannya tidak semudah seperti yang disangka. Ia sedikit rumit, katanya.
“Proses mengasingkan tulang ikan tenggiri saya kira agak mencabar.
Isi ikan yang telah diasingkan akan diadun bersama tepung kanji, garam,
gula dan kita akan membentuk doh. Ia (proses) mengambil masa kira-kira
empat jam.
“Doh tadi yang seberat kira-kira 500 gram itu berbentuk silinder
atau segi empat tepat kemudian akan dipotong kecil secara melintang.
Setiap potongan kecil tadi, perlu dipotong halus lagi,” jelasnya. Proses menggoreng juga perlu diberi perhatian khusus. Jelas Jeminah,
amplang perlu digoreng dengan minyak yang banyak selama lebih kurang 15
minit dan perlu dikacau selalu agar tidak hangit. Biasanya, dalam sehari, Jeminah akan mengadun 40 hingga 50 kilogram amplang.
Potensi
Sepanjang hampir 10 tahun menjalankan bisnes itu sambil dibantu oleh
suaminya, Platui Ambuk, 49, dan anaknya, Mohd. Azlie, 25, yang
bertindak sebagai pegawai pemasaran, Jeminah memberitahu, dia puas. “Pihak Felda banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada produk ini. Saya hanya memulakan industri dengan bajet RM3,000 saja.
“Tidak mungkin dengan wang sebanyak itu saya berupaya
memperkembangkan bisnes saya tapi dengan adanya bantuan Felda, impian
saya menjadi kenyataan,” katanya sambil memberitahu dia meraih antara
RM6,000 hingga RM7,000 sebulan melalui perniagaan ini.
Produk Perusahaan Keropok D’Umas bukan sahaja terdapat di Tawau
tetapi melewati ke seluruh Sabah terutama bandar-bandar utamanya. Kini,
usahawan wanita itu sedang mengintai pasaran Semenanjung Malaysia.
Untuk itu, sebagai langkah awal, dia kerap menyertai
karnival-karnival yang dianjurkan. Beberapa tahun lalu dia pernah
melibatkan diri pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan
Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
“Bukan saya saja tapi pengusaha IKS keropok amplang di Tawau
mempunyai iktikad untuk mempopularkan makanan tradisi kami,” ujar
Jeminah yang tampak yakin di akhir bicara. Barangkali tidak sukar untuk usahawan amplang merealisasikan hasrat
mereka. Memetik kenyataan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah,
pihak mereka sedia membantu mencari pasaran baharu untuk bisnes ini.
Pembantu Menterinya, Datuk Michael Asang berkata, pihaknya akan
memberi perhatian sewajarnya kepada pengusaha kecil yang serius dan
berpotensi di seluruh negeri untuk diberi perhatian. Katanya, makanan ringan itu tidak lagi boleh dianggap sebagai
makanan orang kampung kerana amplang semakin digemari dan turut popular
di luar Sabah.
“Amplang berpotensi untuk dikomersialkan kerana ketika ini sudah
menjadi salah satu buah tangan yang perlu dibawa pulang oleh para
pelancong,” katanya.
No comments:
Post a Comment