Saturday 10 December 2011

Petua Reed mampu bertahan lama


David S. Reed


MENCINTAI tugas yang dilakukan dan minat yang mendalam merupakan dua petua penting untuk membolehkan seseorang individu bertahan lama dalam sesuatu kerjaya.

Petua itu diberikan Penasihat Kanan Tenaga Jabatan Perancangan Strategik Korporat Exxon Mobil Corporation (ExxonMobil), David S. Reed ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Reed telah berkhidmat selama 32 tahun dengan ExxonMobil dan pernah bertugas di Kuala Lumpur selama tiga tahun iaitu sejak 1993 sebagai Pengurus Perancangan Hiliran ExxonMobil.

Ditanya mengenai pengalamannya yang berkerja selama 32 tahun di ExxonMobil, beliau berkata, minat terhadap bidang kejuruteraan dan teknologi menyebabkan beliau terus bertahan di syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, setiap masa perubahan teknologi telah berlaku dan ia merupakan satu perkara yang amat menarik.

Kata Reed yang mempunyai seorang anak perempuan dan seorang cucu lelaki selepas bertugas selama tiga tahun di negara ini, beliau berasa bertuah kerana boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Malaysia.

''Bahasa Malaysia sangat mudah berbanding bahasa lain dan saya berharap rakyat di negara ini bersyukur dengan keunikan bahasa itu.

''Tidak timbul isu sekiranya ada di kalangan rakyat Malaysia tidak boleh menguasai bahasa itu dengan baik sedangkan beliau sendiri yang hanya tiga tahun berkhidmat di negara ini sudah boleh menguasainya,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Reed merupakan pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan industri dan kajian operasi dari Cornell University, AS yang diperoleh pada tahun 1979.

Beliau dilahirkan di sebuah kampung kecil yang terletak di Pennsylvania, AS pada tahun 1957.

Kini beliau bertugas di Dallas, Texas, AS dan sering kali ditugaskan untuk melawat dan menghadiri mesyuarat di Asia Pasifik termasuk di Malaysia.

Ketika ditanya mengenai pandangan beliau terhadap komuniti Malaysia, beliau berkata, negara ini mempunyai kelebihan kerana mempunyai berbilang kaum, agama dan bahasa dan pada masa yang sama hidup dengan aman dan harmoni.

Katanya, kelebihan itu juga merupakan faktor penting untuk syarikat-syarikat asing dan multinasional bertapak dan beroperasi di sini.

Reed turut mengakhiri perbualan dengan memuji Malaysia yang telah mengalami kemajuan yang amat pesat berbanding tahun 1993 yang lalu, iaitu sewaktu beliau bertugas di negara ini.

No comments:

Post a Comment