|
SUASANA di dalam Stadium Benfica di Lisbon, Portugal bertukar menjadi
riuh-rendah sebaik seorang warga Peru berpakaian tradisional
menunjukkan anugerah yang dimenangi Machu Picchu ke langit.
Sebagai tanda berterima kasih, dia merapatkan tapak tangannya dan
menunduk hormat ke arah 50,000 penonton yang hadir menyaksikan acara
Tujuh Keajaiban Dunia 2007.
Pastinya momen itu terpahat kemas dalam memori masyarakat Peru
sehingga kini. Pengiktirafan yang diperoleh oleh industri pelancongan
Amerika Selatan itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada
Peru. Buktinya, pada tahun 2010, statistik pelancongan Peru mencatat
peningkatan sebanyak 12 peratus atau 2.9 juta pelancong.
Faktor utama kebanjiran pelancong ke Peru yang mencapai kemerdekaan
pada 28 Julai 1821 itu adalah untuk menikmati keindahan Machu Picchu.
Kota sejarah yang ditemui pada tahun 1991 itu terletak di puncak
pergunung Andes yang suatu ketika dahulu didiami oleh bangsa Inca.
Kebanyakan pakar sejarah mendakwa bangsa Inca telah membina empayar
terbesar di rantau Amerika itu antara tahun 1400 dan 1531. Kemungkinan
bangsa Inca mendapat inspirasi daripada tamadun Wari untuk membina kubu
Machu Picchu dan membangunkan sistem politik mereka. Tamadun Wari
memiliki zaman kegemilangan di Andes antara tahun 700 hingga 1200.
Sehingga ke hari ini, pakar sejarah dan arkeologi masih tercari-cari
jawapan misteri tentang kehilangan bangsa Inca. Belum pun selesai isu
tersebut, kini kerajaan Peru mengejutkan dunia dengan berita sebuah lagi
kompleks peninggalan purba yang berusia 1,600 tahun.
Enggan membiarkan kota Marcahuamachuco yang berpangkalan di utara
Andes itu rosak dan hilang nilai-nilai sejarahnya, kerajaan Peru
mengambil inisiatif dengan melancarkan proses memulihara. Sebahagian
besar harta arkeologi dan artifak yang terdapat di kompleks purba di
kawasan gunung seluas 240 hektar itu telah dicuri.
Bagaimanapun, struktur bangunan, dinding batu setinggi di antara 10
hingga 15 meter, galeri dan sebuah tempat ibadah masih kukuh meskipun
persoalan yang sama menjadi perbincangan dalam kalangan pakar sejarah.
Seperti Machu Picchu, Marcahuamachuco turut mempunyai sisi misteri yang
perlu dirungkaikan.
Kubu perlindungan
Memandangkan ia sebuah kawasan pergunungan dan jauh dari bandar,
pakar sejarah tertanya-tanya siapakah penduduk di kawasan itu? Apakah
yang mendorong mereka untuk tinggal di sana? Menurut pakar arkeologi yang dilantik kerajaan Peru bagi mengetuai
proses pemuliharaan, Cristian Vizconde, kompleks itu dibina seperti
sebuah kubu bagi mengelakkan ia diserang dan dijajah.
"Marcahuamachuco menjadi tumpuan ahli arkeologi sejak tahun 1900.
Disebabkan sebahagian kawasan itu telah tertimbus, maka ia menyukarkan
proses mencari kedudukan sebenar tapak purba. "Kita masih belum mengenal pasti budaya masyarakat di Marcahuamachuco
apatah lagi asal-usul mereka. Cuma yang dapat dipastikan setakat ini
ialah struktur dan dinding batu yang dibina sekitar tahun 350 dan 400
Masihi," jelas Vizconde.
Pada bulan Oktober tahun 2010, proses pemuliharaan bertambah baik
apabila pihak Peru bekerjasama dengan sebuah badan yang melindungi tapak
warisan budaya dunia, Global Heritage Fund (GHF) melakukan kerja-kerja
pembersihan secara besar-besaran.
"Tempat ini telah dikosongkan tetapi terdapat beberapa petugas sedang
melakukan analisis dengan bantuan GHF," terang Vizconde yang turut
menambah pertemuan sembilan buah kubur lama baru-baru dapat membantu
merungkai lebih banyak rahsia dan misteri yang dicari selama ini.
Dalam usaha kerajaan Peru menjadikan Marcahuamachuco sebagai tarikan
pelancongan terbaharu di Peru, sejumlah dana disediakan untuk aktiviti
mengkaji dan memulihara.
Matlamat utama kerajaan Peru ialah supaya kota purba itu diiktiraf
sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). "Paling menarik perhatian saya ialah rekaan bangunannya yang terbuka
luas. Seolah-olah ia menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa
pembinaan bangunan itu untuk menunjukkan kekuatan dinasti era tersebut,"
jelas perunding GHF, John Hurd yang berharap pelancongan Peru bertambah
baik dengan adanya Marcahuamachuco.
Lubuk pekerjaan
|
|
Industri pelancongan banyak membuka lubuk pekerjaan dan mengembalikan
semula perhatian pada khazanah purba yang hampir musnah. Di kawasan
berkenaan terdapat lebih 300 tapak arkeologi yang semakin terancam dek
perlombongan emas tidak formal.
Datuk Bandar Luis Alberto Rebaza bagi daerah Huamachuco yang didiami
150,000 penduduk menyatakan, kawasan tersebut mempunyai nilai-nilai
tarikan pelancong.
"Ia membuka peluang terbaik kepada penduduk," tutur Rebaza. Selain itu, pihak kerajaan Peru turut menjalankan kerja-kerja
pembinaan jalan raya yang menghubungkan di antara Marcahuamachuco dan
Trujillo iaitu bandar ketiga terbesar di bahagian utara Peru.
Kubur lama
Sementara itu, pakar arkeologi dari Kanada Topic John dan Theresa
Lange-Topic yang mengkaji kompleks Marcahuamachuco percaya, para
penduduk mula meninggalkan kota tersebut pada abad ke-13 tetapi punca
mengapa mereka pergi masih belum diketahui. Kumpulan arkeologi menyifatkan sembilan buah kubur lama yang ditemui
di dinding tebal bangunan itu merupakan kubur orang bangsawan.
Dalam pada itu, pakar struktur arkeologi Julio Vargas melahirkan rasa
kagum dengan saiz bangunan itu. Vargas memuji kerja-kerja mencantumkan
batu-batu dinding sehinggakan struktur bangunan kota purba tersebut
kukuh berabad lama meskipun terdedah pada hujan dan ribut.
Secara tidak langsung situasi itu menunjukkan betapa betapa peritnya
kerja-kerja pembinaan pada zaman lampau kerana tidak dibantu dengan
sebarang bantuan jentera atau perkakasan moden seperti hari ini. Menyentuh mengenai peranan pakar arkeologi dalam memulihara khazanah
lama, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman,
Pakar Prasejarah Akademi Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), berpendapat, lazimnya pakar arkeologi menjalankan proses
cari gali dan pemuliharaan terhadap tapak purba yang mempunyai nilai
sejarah yang tinggi.
"Pencari harta karun tugasnya mencari harta manakala orang sejarah
dan arkeologi cenderung kepada pencarian barang atau kawasan sejarah
yang boleh memberi kepentingan kepada negara, bangsa dan budaya.
"Inilah yang berlaku di kota purba Marcahuamachuco, pakar arkeologi
bertungkus-lumus mengkaji kawasan berkenaan. Sedikit sebanyak hasil
kajian yang diperoleh secara tidak langsung memberi nilai tambah pada
masyarakat dan negara Peru," terang Nik Hassan ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Nik Hassan, ahli arkeologi yang bertanggungjawab perlu
menjalankan pemuliharaan dengan penuh teliti dan berhati-hati. Ini bagi
memastikan tapak ataupun struktur asal sesebuah tempat itu tidak
terjejas. Setiap benda yang ditemui dan boleh dijadikan bahan bukti pula disimpan di dalam bekas khas untuk memudahkan kerja-kerja kajian.
Petikan : www.kosmo.com.my
17/12/2011
No comments:
Post a Comment