|
|
JARANG sekali pelawat dikehendaki menandatangani borang aku janji apabila melawat mana-mana tempat di dunia.
Tetapi borang yang baru ditandatangani oleh kira-kira 50 pelancong di
dalam dewan Kem Bonifas yang terletak di Zon Bebas Tentera (DMZ),
kira-kira 40 kilometer ke utara Seoul, Korea Selatan itu berbunyi:
"Lawatan ke Kawasan Sekuriti Bersama (JSA) di Panmunjom melibatkan
kemasukan ke kawasan musuh dan kemungkinan kematian akibat tindakan
musuh."
Sekalipun amaran itu menggerunkan, belum ada pelancong yang mati
semasa melawat JSA, pusat ketenteraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) di DMZ.
Namun begitu, nasib tentera pengaman yang ditempatkan di situ tidak
selalunya baik. Sejak tahun 1953, lebih 50 tentera Amerika Syarikat (AS)
dan 500 askar Korea Selatan terbunuh selepas berlaku pertempuran dengan
tentera Korea Utara.
Kem Bonifas sendiri diambil sempena nama kapten tentera AS yang
dikapak sehingga mati semasa melakukan kerja memotong pokok di JSA pada
tahun 1976.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton menggambarkan Zon Bebas
Tentera (DMZ) di Korea sebagai tempat paling mengerikan di muka bumi.
Apa tidaknya, DMZ yang membahagi dua Korea dipenuhi dengan menara peninjau, perangkap kereta kebal dan senjata berat.
Tentera
Lebih dua juta tentera sedia berperang pada bila-bila masa sejak
lebih 50 tahun lalu di sepanjang 248 kilometer sempadan kedua-dua negara
itu.
Korea Utara dipercayai menempatkan sejuta tentera di DMZ. Di pihak yang
satu lagi pula ada kira-kira 600,000 tentera Korea Selatan dan 28,000
tentera AS. DMZ merupakan salah satu penempatan terbesar tentera AS di
luar negara.
Jika tentera Korea Utara memasuki sempadan DMZ, AS secara automatik
dikira sedang berperang kerana mengikut perjanjian 1954 yang disokong
oleh resolusi PBB menyebut bahawa AS komited dalam mempertahankan Korea
Selatan. Walaupun DMZ merupakan salah satu tempat paling bahaya di dunia, ia
telah menarik kedatangan ratusan ribu pelancong setiap tahun.
Mereka teruja untuk melihat tentera Korea Utara yang berwajah bengis
dan sentiasa menggunakan teropong untuk memerhati pergerakan pelancong. Sebuah pusat penerangan dibina berhampiran Terowong Ketiga di JSA.
Di situ, pengunjung boleh menonton tayangan video multimedia selama
enam minit yang menceritakan kesengsaraan rakyat Korea akibat berperang
sesama sendiri. Wajah pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il berulang kali dipaparkan dalam video itu.
Jong-Il meninggal dunia minggu ini akibat serangan jantung semasa
menaiki kereta api di luar Pyongyang. Beliau digantikan oleh anaknya,
Kim Jong Un. Namun, bahagian dalam video itu yang menyentuh perasaan ialah tatkala
dua keluarga yang terpisah di Korea Utara dan Korea Selatan disatukan.
Perang Korea yang meletus pada tahun 1950-53 hakikatnya belum
berakhir. Tiada rundingan damai rasmi apatah lagi perjanjian menamatkan
perang ditandatangani. DMZ pula ibarat medan untuk kedua-dua negara menunjukkan kehebatan.
Pada tahun 1998, Korea Selatan membina Bangunan Kebebasan di JSA.
Malangnya saiz bangunan dan seni binanya tidak menggembirakan Korea
Utara. Sebagai tindak balas, negara itu membesarkan bangunan Dewan Panmun dengan menambah beberapa tingkat lagi.
Begitu juga pada tahun 1980-an, apabila Korea Selatan membina tiang
bendera setinggi 98 meter di Kampung Daeseong-dong, Korea Utara
membalasnya dengan membina tiang yang lebih tinggi di Kijong-dong.
Kampung
Tiang bendera Korea Utara itu disenaraikan oleh Guinness Book of
Records sebagai tiang bendera paling tinggi di dunia iaitu setinggi
kira-kira 160 meter.
Terdapat perkampungan di kedua-dua sempadan. Di selatan, Kampung
Daeseong-dong ditadbir mengikut undang-undang DMZ. Ia merupakan
satu-satunya kawasan berpenghuni di DMZ.
Penduduk kampung dikira sebagai rakyat Korea Selatan namun mereka
dikecualikan daripada membayar cukai dan keperluan sivil lain seperti
menyertai perkhidmatan ketenteraan.
|
|
Di utara, Kijong-dong menampilkan beberapa bangunan dan apartmen yang dicat terang beserta kemudahan elektrik.
Ciri itu menggambarkan kemewahan penduduk kampung Korea pada tahun 1950-an. Kesemua bangunan di situ dicat putih manakala bumbungnya berwarna
biru menyebabkan ia sangat ketara dilihat dari jauh. Namun, pandangan
menggunakan teleskop moden mendapati bangunan itu sekadar konkrit.
Ia tidak mempunyai tingkap atau bilik. Lampu bangunan itu akan
terpasang dan terpadam secara automatik. Kaki lima bangunan pula
diletakkan patung manusia bagi memberi ilusi ada aktiviti di sana.
Boleh dikatakan tidak disentuh selama lebih setengah abad, DMZ yang
selebar kira-kira empat kilometer bertukar menjadi syurga bagi spesies
haiwan terancam termasuk burung tengkuk putih dan harimau bintang.
No comments:
Post a Comment