|
TIDAK pernah terasa bosan di hati Aishah Ismail dengan tugas
sukarelawan yang dilakukannya itu walaupun berdepan dengan seribu satu
ragam manusia.Bahkan, bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukannya untuk menguntumkan senyuman di wajah orang lain.
Malah, pengasas sebuah badan kebajikan yang diberi nama HUGS atau
Helping Underprivileged Gain Strength itu sanggup menghabiskan masa
mudanya demi menggerakkan HUGS untuk membantu mereka yang memerlukan.
Sejak menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut pada Disember
2009, gadis berusia awal 30-an itu meletakkan sepenuh jiwa raganya untuk
HUGS. Apatah lagi, kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan sebenarnya
sudah sebati dengan jiwanya sejak kecil lagi.
HUGS ditubuhkan sebagai satu saluran bagi membantu kanak-kanak yatim
piatu dan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan bantuan untuk
berdikari. Dalam bahasa Inggeris mengikut kamus, HUG bermaksud memegang
seseorang atau sesuatu dekat dengan badan anda menggunakan tangan,
kebiasaannya bagi menunjukkan yang anda suka, sayang atau menghargai
mereka. Bertitik-tolak daripada maksud tersebut projek HUGS ditubuhkan atas
ilham Aishah yang juga bekas Presiden Lions Club Kuala Lumpur (KLCAP).
"HUGS tercetus selepas saya berjumpa dengan kanak-kanak terdiri dari
golongan OKU dan yatim piatu yang memerlukan perhatian untuk berdikari.
"Saya percaya kanak-kanak ini harus diberi peluang yang sama seperti
kanak-kanak normal yang lain," kata anak kelima daripada enam
adik-beradik itu.
Berdikari
Kata Aishah yang masih belum berumah tangga itu, penubuhan HUGS lebih
tertumpu untuk menyediakan bantuan perubatan dan pembelajaran supaya
kanak-kanak tersebut dapat berdikari sekali gus meneruskan kelangsungan
hidup.
"Pernahkah kita terfikir betapa beruntungnya diri kita ini mempunyai
keluarga yang lengkap, dikelilingi dengan kasih sayang dan sihat tubuh
badan.
"Namun, ada kanak-kanak di luar sana yang yatim piatu, OKU dan sangat
dahagakan kasih sayang. Atas keadaan itu saya menubuhkan badan
kebajikan bukan kerajaan ini untuk membantu kanak-kanak terbabit bagi
meneruskan hidup," katanya.
Ujar Aishah, setakat ini HUGS telah memilih dua buah rumah anak yatim
yang telah dibantu untuk mendapatkan sumbangan dana selain, kira-kira
enam orang kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang susah serta
kelainan upaya untuk mendapatkan bantuan.
"Enam orang kanak-kanak tersebut masing-masing mengalami masalah
kesihatan dan kewangan selain pendidikan," kata pengasas HUGS itu.
HUGS dengan kerjasama KLCAP katanya, akan mengenal pasti keadaan diri
anak yatim piatu dan OKU tersebut terlebih dahulu sebelum memberi
bantuan. Maklumat penuh mengenai sejarah perubatan akan diperoleh dari
hospital untuk melengkapkan maklumat mengenai situasi kesihatan mereka.
Selain itu, anak yatim piatu yang OKU juga boleh terus mendapatkan
rawatan di hospital terpilih yang dikehendaki. Jika perlu anak yatim itu
akan dirujuk kepada doktor pakar untuk khidmat nasihat dan rawatan
perubatan. Tidak ketinggalan mereka juga akan dihantar untuk mengikuti program
pendidikan khas berdasarkan keadaan diri mereka masing-masing.
"Pembangunan diri anak yatim dan OKU terbabit dipantau dengan teliti
agar pada masa hadapan mereka mampu berdikari," ujarnya yang menyertai
aktiviti sukarelawan sejak zaman sekolah.
Kata Aishah ketika ditemui, dengan menyertai aktiviti sukarelawan
dirinya berasa puas terutamanya apabila melihat orang yang dibantu
berasa gembira. Beliau yang aktif dalam gerak kerja Lions Club itu, percaya bahawa
hampir semua pertubuhan sukarelawan yang ada di dunia ini mempunyai misi
yang sama iaitu untuk membuat perubahan yang baik kepada dunia.
Lions Club Antarabangsa merupakan pertubuhan sukarela yang berjaya mencungkil bakat dan semangat kesukarelawanan Aishah. Dengan menyertai hanya satu badan pertubuhan sukarelawan, fokus dapat
diberikan sepenuhnya untuk menjayakan misi tersebut dengan penuh
komited.
Walaupun bergelar sukarelawan menuntut pengorbanan yang bukan
sedikit, beliau gembira kerana sentiasa mendapat sokongan padu daripada
keluarganya.
Pelukan HUGS
Antara kanak-kanak yang berjaya mendapat pelukan kasih sayang daripada HUGS termasuklah Nor Aina Najwa Nor Azimin, 2. Kanak-kanak itu menderita penyakit mata Medpor Orbital sejak lahir. Bapanya, Nor Azimin Mohd. Isa, 45, mengakui bersyukur apabila bertemu
jodoh dengan HUGS dan beban masalah yang dialami keluarganya semakin
ringan.
Walaupun sudah beberapa kali melakukan pembedahan di hospital keadaan
Nor Aina bukan sahaja tidak pulih sebaliknya semakin teruk. HUGS
kemudian membawa Nor Aina untuk dirujuk ke Pusat Rawatan Pakar Mata
Antarabangsa (ISEC) di Mid Valley, Kuala Lumpur.
Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa implan yang
dimasukkan di dalam matanya telah hancur dan menyebabkan mata Aina
bernanah. "Dengan bantuan HUGS yang menanggung kos pembedahan Nor Aina,
akhirnya pembedahan dilakukan bagi merawat jangkitan di dalam matanya,
seterusnya memasukkan implan yang baru.
"Alhamdulillah, sehingga kini saya lihat Nor Aina tidak lagi menangis
air mata darah atau kesakitan. Keadaan kesihatannya semakin baik
meskipun doktor mengesahkan Nor Aina tidak akan dapat melihat lagi buat
selama-lamanya," kata Nor Azimin.
Petikan : www.kosmo.com.my 19/12/2011
No comments:
Post a Comment