Bencana air pasang besar
|
DUNGUN – Ribuan penduduk pesisir pantai di daerah ini serta sepanjang
pantai Bachok, Kelantan panik apabila kawasan tempat tinggal mereka
dipukul ombak akibat fenomena air pasang besar sejak seminggu lalu.
Kesan daripada kejadian itu mengakibatkan jalan raya yang
menghubungkan Pantai Teluk Lipat ke Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Dungun runtuh selepas dipukul ombak besar.
Fenomena luar biasa itu yang turut diibarat sebagai 'tsunami kecil'
oleh penduduk tempatan dianggap sebagai kejadian paling buruk yang
pernah berlaku di daerah tersebut.
Selain runtuhan jalan raya, puluhan pokok ru di sepanjang pesisir
pantai berkenaan turut menyembah bumi sehingga mengancam keselamatan
penduduk setempat.
Tinjauan Kosmo! di kawasan kejadian semalam mendapati masih ramai
pengguna jalan raya melalui kawasan runtuhan sepanjang dua kilometer itu
walaupun pihak berkuasa telah meletakkan papan tanda amaran.
Seorang peniaga kedai makan, Ahmad Fauzi Ismail, 50, mendakwa
kejadian air pasang besar di pantai itu mula dikesan sejak minggu lalu
sebelum bertukar menjadi lebih buruk kelmarin.
Katanya, situasi di kawasan itu juga dilihat tidak selamat apabila
ramai menjangkakan ribut dan angin kencang serta air pasang akan berlaku
dalam beberapa hari lagi.
“Selama saya tinggal di sini, inilah bencana paling buruk pernah
berlaku sampaikan hampir keseluruhan jalan pesisir pantai runtuh.
“Saya nampak sendiri batu-batu besar dihanyutkan ombak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Oleh MUSTAPA LAKAWA dan TOREK SULONG
berita@kosmo.com.my
berita@kosmo.com.my
Petikan : www.kosmo.com.my 27/12/2011
No comments:
Post a Comment