Kuasa Raja-Raja Melayu
SEJAK Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, terlalu
banyak perubahan dan pembangunan dilakukan bagi memartabatkan negara di
peringkat antarabangsa. Namun, sepanjang menyusuri arus perubahan dan kemodenan, Malaysia
masih mengekalkan sistem yang diamalkan sejak kurun yang ke-15.
Pastinya, sistem yang dimaksudkan itu ialah sistem pemerintahan
beraja yang merupakan teras utama sistem pemerintahan negara. Lagipun
umum mengetahui bahawa Malaysia yang mempunyai 14 buah negeri
mempraktikkan sistem Raja Berperlembagaan.
Hari ini, sudah lima dekad sistem Raja Berperlembagaan memainkan peranan dalam kestabilan dan keamanan pada negara.Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menjelaskan,
tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong sama ada di bawah Perlembagaan atau di
bawah Undang-Undang Persekutuan, hendaklah bertindak mengikut nasihat
jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah
kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selain
perlembagaan ini.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong berhak mendapat maklumat mengenai
pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri. Secara amnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara yang
dipilih menerusi Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan buah
negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah,
Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Setiap raja dari sembilan negeri itu mempunyai peluang untuk menjadi
ketua negara dengan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh
lima tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan
Persekutuan.
Secara keseluruhan, Malaysia dipayungi Yang di-Pertuan Agong tetapi
sembilan buah negeri beraja ditunjangi raja atau sultan negeri, manakala
empat buah lagi negeri pula diketuai Yang di-Pertua Negeri.
Namun sistem beraja di Negeri Sembilan paling unik berbanding
negeri-negeri beraja yang lain. Rajanya tidak dipanggil sultan atau
raja, sebaliknya digelar Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Selain
itu, sistem di negeri tersebut pula bukannya monarki turunan tetapi
dipilih oleh empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak
Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.
Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, dalam hierarki
masyarakat Melayu yang berbentuk piramid, raja merupakan golongan yang
menduduki kedudukan teratas.
Ketinggian darjat raja dalam masyarakat telah memberikan mereka kuasa
pemerintahan utama. Malah, kedaulatan dan kuasa raja berkekalan dan
terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara
181 (1).
"Biar zaman semakin canggih dan moden, asalkan kita tidak lupa
asal-usul dan kedaulatan kepada Raja-Raja Melayu. Peranan raja dan
sultan masih lagi diperlukan dan relevan bagi melindungi rakyat dan
negeri yang diperintah. Sebab itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa
menjaga kedudukan raja atau sultan sampai bila-bila," kata Ramlah.
Menjelaskan lanjut mengenai peranan raja negeri, Ramlah memberitahu,
mereka berkuasa melantik seorang Menteri Besar atas budi bicara. Pada
masa yang sama, Raja Negeri juga berhak menolak calon Menteri Besar
sekiranya tidak menepati kriteria dan kurang yakin kredibiliti meskipun
individu berkenaan merupakan ahli pada sebuah parti yang memenangi
majoriti 2/3 dalam pilihan raya.
Selain itu, Raja Negeri boleh menangguhkan pembubaran Dewan Undangan
Negeri, bertindak sebagai ketua agama atau berhubung dengan adat Melayu
serta melantik waris atau waris-waris, isteri, pemangku raja atau jemaah
pemangku raja.Antaranya termasuklah melantik pemegang pangkat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu.
Petikan : www.kosmo.com.my
14/12/2011
No comments:
Post a Comment