|
|
GAGAL diterbitkan dalam bentuk dua dimensi (2D), tetapi akhirnya kini ia berjaya direalisasikan dalam bentuk tiga dimensi (3D).
Itu takdir perjalanan sebelum kelahiran Pada Zaman Dahulu, siri
animasi kedua keluaran Les' Copaque Production Sdn. Bhd. selepas
kemunculan produk sulungnya Upin & Ipin yang meraih kejayaan mega.
Mmenurut Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd.,
Burhanuddin Md. Radzi, Pada Zaman Dahulu pernah mengalami kegagalan
ketika percubaan pertama menjadikan siri itu dalam bentuk 2D tahun lalu.
"Kos mengeluarkan produk animasi sangat tinggi. Pada Zaman Dahulu
sudah disiapkan setahun lalu, tapi oleh kerana episod pertamanya
menerusi teknik 2D sangat menghampakan, seluruh krew terpaksa
dibubarkan," jelasnya.
Namun, berbekalkan kepakaran 3D tempatan, Pada Zaman Dahulu kembali
dihidupkan dengan mengutamakan variasi warna yang menarik dengan teknik
lukisan warna air.
Kelainan siri animasi ini lebih kepada kisah-kisah haiwan yang pernah
diceritakan oleh nenek moyang pada zaman dahulu yang memberikan
pengajaran yang bermanfaat.
"Memandangkan ibu bapa sekarang jarang mempunyai masa untuk bercerita
mengenai kisah dongeng haiwan kepada anak-anak dan golongan cilik
sekarang lebih gemar menghabiskan masa bermain permainan video, maka
siri animasi ini adalah langkah penyelesaian terbaik," ujarnya lagi.
Siri animasi Pada Zaman Dahulu telah memulakan tayangan di saluran TV
AlHijrah selain memasuki pasaran Indonesia iaitu disiarkan di stesen
MNCTV.
Bersiaran sebanyak 12 episod, Pada Zaman Dahulu kini menemui penonton
cilik di Zon Aulad saluran TV AlHijrah setiap hari Sabtu pukul 8.30
malam.
Siaran ulangan pula akan disiarkan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada pukul 5.50 petang. Pada Zaman Dahulu mengisahkan gelagat Aris dan adiknya Ara yang cuba
menyesuaikan diri di kampung berikutan kedua-dua orang tua mereka
bertugas di luar negara. Aris dan Ara tinggal bersama datuk mereka, Aki.
Sebagai seorang datuk yang mengasihi cucu-cucunya, Aki sedaya upaya
cuba menghiburkan dan mendekati mereka dengan teknik penceritaan yang
menarik serta lucu.
Di sinilah pelbagai kisah Sang Kancil dan rakan-rakannya seperti Sang
Harimau, Sang Tupai, Sang Kerbau, Sang Gajah dan Sang Monyet
dipersembahkan.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari
Che Muda, siri animasi Pada Zaman Dahulu berpotensi untuk mencipta nama
sebagaimana animasi tempatan popular, Upin & Ipin. "Kita sudah membuat penilaian, siri animasi yang mengguna pakai
teknik HD (High Digital) ini mempunyai kualiti yang baik sesuai dengan
platform penyiaran TV AlHijrah," katanya pada sidang akhbar pelancaran
siri animasi Pada Zaman Dahulu di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru
ini.
Tambahnya, siri animasi yang ditayangkan dalam slot baharu stesen
televisyen AlHijrah, iaitu Zon Aulad, sesuai dengan sasaran golongan
kanak-kanak.
"Zon Aulad antara lainnya mempunyai tarikan warna-warni dan ada mesej
yang membina sahsiah anak-anak daripada prapersekolahan hingga
peringkat remaja," ujarnya yang turut memberitahu TV AlHijrah kini
sedang dalam proses menambah kandungan siaran untuk golongan kanak-kanak
menjelang tahun depan.
Petikan : www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment