MONUMEN batu besar Stonehenge di England yang sering dijadikan
wallpaper berjuta-juta komputer di seluruh dunia kekal misteri sehingga
kini. Batu megalit prasejarah itu masih kukuh berdiri di kawasan terbuka
di Salisbury, kira-kira tiga kilometer ke barat pekan Amesbury,
Wiltshire di selatan England. Ia dibina kira-kira 5,000 tahun lalu.
Masa selama lebih 1,000 tahun diambil untuk menyiapkannya dengan menggunakan tenaga ribuan pekerja.
Bagaimanapun, daripada 30 batu asal setinggi bangunan tiga tingkat yang didirikan, tinggal 17 ketul batu sahaja sekarang. Kawasan seluas 13 kilometer di sekitarnya juga tidak mempunyai apa-apa struktur bangunan.
Lingkaran eksentrik batu itu bukan sahaja berkisar mengenai siapa
yang membinanya bahkan bagaimana batu itu diangkut ke lokasi sekarang. Ada yang mengatakan batu itu berasal dari barat daya Wales dan
dibawa melalui jalan laut sebelum diangkut menggunakan kayu yang
diluncurkan semasa musim salji sebelum tiba di Salisbury.
Batu pasir seberat 40,000 kilogram itu dikatakan oleh ramai pengkaji
berasal dari Marborough Downs iaitu satu kawasan yang terletak
kira-kira 20 kilometer dari tapaknya sekarang. Terdapat juga teori mengatakan lubang yang dalam perlu dibina untuk
meletakkan batu itu pada kedudukannya. Tali mungkin digunakan untuk
menarik batu ke atas sebelum dihamparkan di atas batu yang berada dalam
kedudukan menegak.
Namun, sehingga kini tidak seorang pun tahu proses batu-batu gergasi itu diangkut.
Ia sama seperti misteri batu besar yang digunakan untuk membina
piramid pada zaman Firaun di Mesir. Batu piramid di Luxor dikatakan
dibawa dari Aswan yang terletak 800 kilometer ke hulu Sungai Nil.
Teori UFO
Ada dakwaan menyebut setiap bongkah batu Stonehenge itu dibawa oleh lebih 600 lelaki.
“Ia satu persoalan yang masih belum terungkai dan memerlukan penjelasan mendalam.
“Tetapi saya percaya Stonehenge merupakan satu kuil suci,” kata Ketua
Jabatan Arkeologi dari Universiti Bournemouth, Britain, Timothy
Darvill.
Ironi, Darvill sendiri belum mendapat bukti kukuh untuk mengesahkan teorinya. Batu pelik itu juga dikaitkan dengan pusat peredaran bumi dengan paksi semesta. Pada Disember 2009, komuniti pengikut fanatik kepercayaan pelik itu
telah berkumpul di Stonehenge untuk menyambut ritual Solstis Musim
Sejuk.
Sambil mengenakan kostum pelik menyerupai pakaian manusia zaman
batu, mereka berkumpul dan mengikuti ritual tradisi masyarakat Keltik
kuno. Persoalan mengenai kewujudan batu itu tidak terhenti begitu sahaja.
Satu lingkaran gergasi yang aneh ditemui berdekatan batu itu pada tahun
lepas. Lingkaran yang mempunyai diameter 61 meter itu dipercayai dibuat
oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), daya tarikan medan magnet atau
buatan manusia sendiri.
Pengkaji fanatik UFO mengatakan batu itu diangkut dan disusun oleh
mahkluk asing memandangkan teknologi manusia kuno tidak mungkin dapat
membina batuan yang unik sifatnya. Dalam pada itu, beberapa pengunjung dilaporkan mengalami kejadian
pelik semasa mengambil gambar atau merakam video di Stonehenge.
Mereka mendakwa terdapat objek dan imej misteri yang tidak dapat
dijelaskan wujud dalam gambar dan video yang mereka ambil. Selain
itu, pengunjung kerap bertemu dengan individu misteri yang ghaib secara
tiba-tiba. Bagi pakar geologi Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali
Hassan, masyarakat pada zaman dahulu sebenarnya mempunyai kecanggihan
dari sudut sains dan teknologi.
“Mereka mungkin memiliki alatan tertentu untuk memindahkan dan menegakkan batu yang beratnya sehingga beribu kilogram. “Walaupun fenomena ini sukar dijelaskan akal tetapi ia tidak mustahil,” katanya.
Ujarnya lagi, kawasan batu Stonehenge itu juga digunakan untuk pemujaan dan ritual tertentu.
“Asal usul batu itu serta masyarakat yang membinanya sangat sukar
untuk dikenal pasti kerana pada batu itu tiada tulisan atau gambar yang
boleh menceritakan mengenai kewujudannya. “Malah, kerajaan kuno mana dan apa corak kehidupan mereka juga tidak diketahui,” ujar Mohamad Ali kepada Jurnal.
Pengkaji alam misteri dan sejarah purba, Drs. Mohammad Idrus Abu
Hanifah pula mendakwa Stonehenge ialah milik orang asli Yunani. “Tiada misteri sebenarnya dan tidak pelik apabila manusia zaman
kuno mampu mengangkat dan memindahkan batu dengan kudrat mereka.
“Hakikatnya mereka menggunakan bantuan makhluk halus. Itu membolehkan mereka memiliki kekuatan luar biasa,” katanya.
Ujar Idrus lagi, perkara yang sama berlaku dalam pembinaan Candi
Borubudur di Indonesia dan Piramid Giza di Mesir yang mana mereka yang
membinanya didakwa mendapat bantuan daripada makhluk halus. “Dahulu tiada kepercayaan agama. Manusia juga menyembah batu
termasuk Stonehenge sendiri yang dianggap mempunyai kuasa penyembuhan,”
katanya.
Petikan : www.kosmo.com.my
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
No comments:
Post a Comment