Thursday 1 December 2011

Luka kerana bola

GARY Speed memberitahu betapa keluarganya ‘adalah segala-galanya bagi diriku’ menerusi wawancara terakhir sebelum kematiannya.Pengurus Wales berusia 42 tahun itu menghargai isteri dan dua anaknya lebih daripada sebarang sanjungan yang diterimanya sepanjang kegemilangan kariernya.

Apabila ditanya perkara yang paling bernilai buatnya, beliau berkata: “Perkara yang saya sanjung bukan harta benda. Saya sendiri tidak tahu di mana pingat kejuaraan bersama Leeds. Jadi, saya katakan keluarga adalah sesuatu yang paling berharga buat saya.’

Ketika dunia sukan terkejut dengan berita kematiannya, Ahad lalu, mereka yang sempat bertemu dengan Speed pada hari-hari terakhirnya berkata beliau tidak menunjukkan tanda kecewa atau tertekan. 

Lapan belas jam sebelum mayatnya ditemui, penonton televisyen saluran BBC berpeluang menyaksikannya dalam rancangan Football Focus.

Ketika diwawancara, beliau bergurau : “Tiga perkara mewakili diri saya iaitu bekerja keras, jujur dan kritikal terhadap diri sendiri. Tunggu sebentar, bukankah itu empat?”

Beliau turut memberitahu betapa gelaran sebagai kapten Wales adalah detik paling membanggakan dalam bola sepak. Perkara paling menyedih�kan baginya adalah meninggalkan Newcastle selepas tujuh tahun.

Beliau kemudian memberitahu: “Bola sepak sering membuat anda terluka.”

Isteri Speed, Louise, 41, ibu kepada dua anak lelaki, Edward, 14, dan Tommy, 13 menemui suaminya dalam keadaan tergantung.

Beliau kemudiannya menelefon ambulans yang bergegas ke rumah agam mereka di Cheshire pada pagi Ahad, selepas beliau diberi nasihat apa yang perlu dilakukan menerusi telefon.

Dalam wawancara itu, Speed yang pernah bermain bersama Everton, Bolton Wanderers dan Sheffield United memberitahu, beliau hampir menjadi pemain kriket dan bukannya pemain bola sepak.

“Saya tidak memberitahu sesiapa sebelum ini tetapi saya terpilih untuk pasukan kriket di sekolah, bukannya bola sepak.”

Lebih 10 pemain bola sepak ternama berusaha menangani kemurungan dan tekanan sejak kematiannya dengan menghubungi klinik Sporting Chance yang ditubuhkan oleh bekas kapten Arsenal dan England, Tony Adams.

Ketua eksekutifnya, Peter Kay berkata: “Saya fikir adalah tidak wajar untuk memperkatakan ada kebaikan di sebalik kejadian mengejutkan ini.

“Tetapi lebih 10 pemain menghubungi saya sejak kejadian itu. Itu bermakna 10 orang cuba mendapat�kan pertolongan. Ia satu angka yang luar biasa. Jika kita meng�anggap ada sesuatu yang bermakna di sebalik tragedi ini, maka kami menerimanya.

“Apabila ada orang menyuarakan mereka pernah terfikir untuk membunuh diri, mungkin ia pernah dialami Gary sendiri.”

Klinik itu dibiayai sebahagiannya oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA).

Ketua Eksekutif PFA, Gordon Taylor berkata pemain yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu berani untuk meminta bantuan.

Kakak Speed, Lesley,44, berkata: “Saya kehilangan adik, sahabat dan inspirasi.”

Anak saudara Speed, Maddie Haylock menyatakan menerusi Twitter: “Kami semua rindukan awak selama-lamanya.”

David Beckham yang berada di Jakarta bersama rakan sepasukannya di LA Galaxy mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Penghargaan turut dilakukan ketika perlawanan malam kelmarin apabila pemain menyarung ikat lengan hitam ketika Nottingham Forest melayan Leeds, di mana Speed menyarung jersi nombor 11.

Pada minit ke-11, peminat melaungkan namanya selama 11 minit.

Tepukan selama seminit turut diberikan di Chelsea sewaktu pemain Liverpool dari Wales, Craig Bellamy, 32, mengesat air matanya.

Petikan Harian Metro 01/12/11

No comments:

Post a Comment